Wednesday, December 23, 2009

Malaysia perlu pupuk inovasi, kata Najib

KUALA LUMPUR 23 Dis. — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia perlu mencetuskan impak kreatif dalam ekonomi global yang kompetetif dengan memupuk inovasi.

Perdana Menteri berkata, negara-negara yang memupuk inovasi seperti Jepun, Finland dan Amerika, berupaya membangunkan ekonomi lebih pesat sebagai hasil usaha itu.

"Inovasi mewujudkan pekerjaan dan memacu kompetetif nasional. Itu sebabnya kita juga perlu mewujudkan impak kreatif dalam ekonomi global yang kompetetif. Kita tidak seharusnya membenarkan diri kita ketinggalan,” katanya dalam laman blognya www.1malaysia.com.my hari ini.

- Bernama

Monday, December 14, 2009

Fokus: Sekolah prestasi tinggi

Pertubuhan guru mahu pemilihan babitkan kawasan bandar, luar bandar

LAPORAN akhbar Jumaat lalu memetik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai berkata Kementerian Pelajaran akan mengumumkan senarai 20 sekolah berprestasi tinggi, dalam sedikit masa lagi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penilaian pemilihan sekolah itu dibuat berdasarkan pencapaian menyeluruh mengikut kriteria ditetapkan, termasuk prestasi warga pendidik di sekolah berkenaan.

ebelum ini, beliau menjelaskan sekolah berprestasi tinggi akan diberikan kelonggaran merencana pentadbiran terutama dalam menetapkan kurikulum, pemilikan bajet serta pengurusan kakitangan berasaskan pencapaian selaras usaha kerajaan mempromosikan persekitaran kerja berprestasi tinggi.

Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi satu daripada komponen kecil Bidang Keberhasilan Utama Negara seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2010.

Beberapa pertubuhan guru dan ibu bapa menyatakan pelbagai pendapat mengenai pemilihan 20 kumpulan pertama daripada kira-kira 10,000 sekolah seluruh negara itu.


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan yang menyokong usaha kerajaan itu berharap kewujudan sekolah itu membolehkan institusi berkenaan bersaing di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng, berkata kerajaan perlu bersikap adil dalam membuat pemilihan sekolah itu, terutama dari segi keseimbangan kedudukannya di bandar dan luar bandar.

“Adalah tidak wajar sekolah berprestasi tinggi itu bertumpu di kawasan bandar, sedangkan di luar bandar diabaikan,” katanya.

“Saya percaya ibu bapa dan guru dapat menerima dengan baik sekiranya diperjelaskan objektif, misi dan visi mewujudkan sekolah berprestasi tinggi ini,” katanya.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional pula meminta Kementerian Pelajaran memperhalusi ciri sekolah itu kerana pelbagai status sekolah diperkenalkan sebelum ini, antaranya Sekolah Kluster, Sekolah Wawasan, Sekolah Lima Bintang, Sekolah Bestari dan terbaru Sekolah Amanah 1Malaysia.

Presidennya, Prof Madya Datuk Mohd Ali Hasan, berkata adalah lebih baik kementerian memperkasa dan melonjakkan sekolah kebangsaan sedia ada sebelum mengambil pendekatan mewujudkan sekolah berprestasi tinggi itu.

“Kita tidak perlu melonjak sekolah lain tetapi membaiki dan memantapkan dengan menjadikan sekolah jenis kebangsaan sebagai model seperti diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, baru-baru ini,” katanya.

Katanya, kewujudan Sekolah Elit sekarang pun belum tentu arah tuju yang perlu diutamakan dan memerlukan suntikan semula.

Majlis Guru Besar pula berharap pemilihan sekolah berprestasi tinggi itu dilaksanakan secara telus tanpa pilih kasih.

Yang Dipertuanya, Roslan Madun, berkata borang khas sekolah berprestasi tinggi perlu disediakan kementerian bagi memberi peluang sekolah yang layak memohon status itu.

“Kita perlu membuka permohonan kepada semua, sekiranya ada sekolah yang berasakan mereka layak berdasarkan kriteria ditetapkan, peluang itu harus diberikan.

“Kita tidak mahu anggapan pemilihan sesebuah sekolah itu kerana guru besar atau pengetuanya kawan atau baik dengan Jemaah Nazir atau panel penilai,” katanya.

Oleh Zabidi Hitam
bidi@bharian.com.my

Thursday, December 10, 2009

Pertukaran En. Abd. Wahi

PKG Kalumpang kehilangan seorang lagi staf.

Pada 1 Julai 2009, En. Mohd. Nazzary Shamsudin (PT N17) mendapat kenaikan pangkat kepada KPT N22. Beliau meninggalkan PKG untuk ke PPD Hulu Selangor.

Kini, seorang lagi keluar meninggalkan PKG. En. Abd. Wahi telah bertukar ke BTPN Selangor mulai 1 Disember 2009 (surat arahan 16 November 2009). Beliau bertugas sebagai PTP Unit Media, Promosi dan Inovasi.

Nampaknya, tinggallah 2 orang staf sahaja iaitu Pn. Khairul Faridah (PTP DGA29) dan En. Muhamad Amin (FT17).

Wednesday, December 9, 2009

SMK Ampang Pecah @ Berita Harian

SMK Ampang Pecah sekolah bestari luar bandar lima bintang

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor, bukan saja terpilih antara 15 sekolah bestari luar bandar penanda aras, malah turut dijadikan showcase bagi projek itu.

Pengetuanya, Hamidah Saman, berkata antara faktor sekolah itu dijadikan rujukan di kalangan sekolah bestari perintis luar bandar adalah kerana kejayaannya mengintegrasi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata, dengan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ICT dibekalkan Kementerian Pelajaran dan bimbingan pegawai Multimedia Development Corporation (MDeC), pembudayaan menyeluruh teknologi itu dilaksanakan dalam tiga aspek, iaitu pengajaran dan pembelajaran (P&P), pentadbiran serta kepelbagaian penggunaannya di kalangan pelajar.

“Setelah mendapat pengiktirafan empat bintang menerusi Standard Kelayakan Sekolah Bestari tahun lalu, kami diberi kepercayaan menjadi salah satu sekolah bestari luar bandar penanda aras dan kini mencapai penarafan lima bintang.

“Komitmen tinggi guru penyelaras bestari, Saemah Mat Tahir dan kerjasama padu seluruh warga sekolah termasuk pentadbir, guru dan pelajar, membolehkan kami terus meningkatkan usaha pembudayaan ICT agar dapat memainkan peranan sebagai sekolah bestari luar bandar penanda aras dan showcase sebaiknya.

“Selain menerima kunjungan kementerian, jabatan pelajaran negeri dan sekolah, baru-baru ini rombongan Universiti Al-Iman Muhammad Ibn Sud Islamic, Arab Saudi melawat sekolah kami dan tertarik dengan pengajaran tilawah al-Quran secara interaktif menggunakan I-Kit,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara itu, Saemah berkata, aktiviti pembangunan modal insan dan memperbanyakkan inisiatif kendiri antara strategi utama bagi membudayakan integrasi ICT dalam segenap aspek operasi sekolah sejajar dengan statusnya.

Untuk tujuan itu, katanya, Briged Bestari dianggotai 30 pelajar Tingkatan Satu hingga Empat ditubuhkan sebagai pasukan khas membantu warga sekolah termasuk guru memanfaatkan ICT dalam P&P.

Katanya, pelbagai bengkel diadakan bagi mendedahkan anggota Briged Bestari dengan teknologi terkini digunakan dalam P&P yang boleh dimanfaat di sekolah terutama bagi melaksanakan projek atau tugasan diberikan.

“Selain membimbing rakan sebaya dalam penggunaan ICT, anggota Briged Bestari turut membantu menyediakan blog bagi setiap panitia mata pelajaran serta membantu guru menghasilkan bahan aplikasi P&P.

“Antara perkara ditekankan kepada pelajar ialah mempelbagaikan kegunaan komputer dan internet bukan untuk mengakses laman sosial dan permainan saja, malah memanfaatkan perisian seperti Oracle Think Quest untuk menyiap dan menghantar tugasan mereka secara online,” katanya.

Saemah berkata, integrasi ICT dalam P&P juga memudahkan guru sekolah itu mengendalikan kelas dan menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menarik.

Beliau memberi contoh, bagi pengajaran Seni Lukis menggunakan Interactive White Board, pelajar diajar menggunakan program asas Paint bagi menghasilkan lukisan sebelum diperkenal kepada perisian lanjutan seperti Photoshop dan Illustrator yang membolehkan mereka membuat rekaan kulit majalah sekolah dan t-shirt persatuan.

“Peralatan dibekalkan kementerian adalah Interactive White Board, I-Kit, perisian P&P Learning Management System dan komputer.

“Bagi memastikan peralatan ini dimanfaatkan sepenuhnya, sekolah khususnya guru penyelaras bestari perlu melakukan inisiatif tambahan seperti sentiasa memperkenalkan perisian terkini di pasaran serta mewujudkan laman sosial tertentu seperti google group untuk memudahkan interaksi guru dan pelajar secara online,” katanya.

TAHNIAH DARIPADA KAMI PIHAK PKG KALUMPANG (tumpang sekaki)

Kementerian Pelajaran teliti sesi persekolahan 2010

PUTRAJAYA 30 Nov. - Kementerian Pelajaran melakukan penelitian secara dekat membabitkan persiapan menghadapi sesi baru persekolahan pada tahun depan.

Ini bagi memastikan semua isu berhubung penggal persekolahan dapat ditangani sebelum sesi persekolahan 2010 bermula.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di sini hari ini

Menurut kementerian itu, jawatankuasa tersebut memperincikan semua isu berkaitan persekolahan dan mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikannya.

"Segala isu melibatkan pelbagai aspek seperti infrastruktur, perabot, peralatan, penempatan guru, bayaran tambahan dan banjir.

"Komitmen kementerian adalah memastikan kemudahan asas untuk setiap murid iaitu satu set meja dan kerusi serta sat set buku teks bantuan disediakan pada hari pertama persekolahan," kata kenyataan yang dikeluarkan pada mesyuarat berkenaan di sini.

Sesi persekolahan tahun depan bermula pada 3 dan 4 Januari 2010.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri dan ketua-ketua jabatan di kementerian itu.

Kenyataan itu menyebut, isu-isu yang mungkin timbul semasa sesi persekolahan 2010 dikenalpasti oleh Jawatankuasa Petugas Khas Penggal Persekolahan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

"Jawatankuasa itu telah mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu atau boleh diambil bagi mengatasi dan mengurangkan masalah yang mungkin timbul pada hari pertama persekolahan.

"Ini mengunakan instrumen Pangkalan Data Laporan Akhir Tahun (dBLAT)," katanya.

Ihsan Arkib Utusan Malaysia Online 1/12/2009

Tuesday, December 8, 2009

Membaca dalam tren dilancar

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Program Membaca 1Malaysia dilancarkan hari ini bagi meningkatkan amalan membaca di dalam pengangkutan awam khususnya kereta api di kalangan rakyat Malaysia.

Bertemakan Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan Bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), program tersebut menjadikan semua gerabak KTMB dilengkapi dengan sudut bacaan.

Sudut bacaan tersebut berupa rak besi yang memuatkan sekurang-kurangnya 50 bahan bacaan ringan termasuk majalah dan buku cerita dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie di dalam tren khas ke Ipoh hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan, beliau berkata, statistik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan Malaysia menduduki tangga kedua terakhir dalam senarai celik huruf negara ASEAN dan Asia Pasifik.

''Malaysia menduduki tangga ke-11 daripada sejumlah 12 negara yang disenaraikan dengan Vietnam berada pada tangga terakhir.

''Australia, Jepun, Korea dan New Zealand menduduki empat tangga pertama dengan 99 peratus kadar celik huruf. Malah Indonesia juga mendahului Malaysia dengan kadar celik huruf sebanyak 92 peratus berbanding Malaysia iaitu 91.9 peratus,'' katanya.

Tambah Seai Kie, kadar celik huruf sesebuah negara mempunyai kaitan dengan tahap kemajuan negara tersebut.

''Justeru saya berharap Program Membaca 1Malaysia akan dapat memupuk tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia sekali gus meningkatkan peratus celik huruf negara,'' katanya.

Seai Kie menambah, beliau percaya program berkenaan akan mendapat sambutan yang baik daripada penumpang KTMB.

Program Membaca 1Malaysia adalah anjuran KTMB dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan Utusan Melayu (M) Berhad dan Kumpulan Karangkraf sebagai penyumbang bahan bacaan.

Rak buku bagi sudut bacaan dalam gerabak kereta api pula adalah sumbangan Nagasteel Equipment Sdn. Bhd.

Selain sudut bacaan dalam gerabak KTMB, satu bank buku turut dilancarkan di Stesen Sentral bagi memudahkan orang ramai menderma bahan bacaan terpakai untuk diletakkan di sudut bacaan dalam kereta api.

Jelas Seai Kie, bagaimanapun, setiap bahan bacaan yang didermakan akan dinilai kesesuaiannya sebelum diletakkan di sudut bacaan setiap tren.

Sempena pelancaran program Membaca 1Malaysia hari ini juga, sekumpulan kanak-kanak dan wakil media turut dibawa menaiki kereta api shuttle ke Ipoh bagi menyaksikan sendiri pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang perjalanan hari ini.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah membaca bersama, mendengar cerita, menyanyi, mewarna, melukis dan menghasilkan kraf tangan.

Oleh ROHANI IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

Monday, December 7, 2009

Bengkel Pelaporan Aktiviti 2009

Bengkel telah diadakan pada 1-4 Disember 2009 di PNB Ilham Resort, Port Dickson. En. Abd. Wahi telah mewakili PKG Kalumpang. Selepas melapor diri pada jam 5.45 petang dan makan malam, majlis pun bermula pada jam 8.30 malam. Dimulai dengan Ucaputama KPP BTPN Selangor (Tn. Hj. Ahmad Dahlan bin Kardi) dan diakhiri dengan taklimat oleh Tn. Hj. Abu Omar bin Mos (KU PICT).

Esoknya (2hb.) bermula pembentangan oleh Unit-unit BTPN Selangor sehingga tengahari. Sebelah petang giliran PKG yang dimulai oleh daerah Klang. Daerah Hulu Selangor mendapat giliran ke 2. Tn. Hj. Yusoff (PTP PKG Sg. Choh) telah mengetuai pembentangan Laporan Aktiviti PKG daerah Hulu Selangor. Sukses... walaupun sangkut kat STS.

Pembentangan aktiviti PKG berlarutan hingga ke malam (9 daerah semuanya).

Esoknya pula (3 hb.) lembaran baru pula dibuka iaitu Perancangan Aktiviti 2010. Tuan KPP telah menerangkan mengenai NKRA dan KPI KPM... pening jugalah nak memahamkannya. Perancangan tahun depan mestilah mengambil kira ke dua-dua perkara ini.

Pada pagi terakhir (4hb.), setiap kumpulan membentangkan hasil bengkel yang telah dibuat semalam. Pn. Nik Asma membentangkan Perancangan Aktiviti 2010 BTPN, Tn. Hj. Abu Omar (Laporan Aktiviti 2009 BTPN)), En. Mohd. Sujang (Laporan Aktiviti 2009 PKG) dan En. Ab. Salam pula membentangkan Perancangan Aktiviti 2010 PKG.

Bengkel ditamatkan pada jam 12.00 tengahari... lepas makan apa lagi baliklah.

Tuesday, December 1, 2009

Taklimat Kampus ASTRO

Taklimat telah disampaikan oleh Dr. Suhaimi Kadir (BTP), Pn. Aini Suraya dan En. Zulkarnain Hamidun daripada ASTRO semasa Perhimpunan Bulanan.

Setiap PKG dan sekolah akan mendapat bekalan baru set ASTRO bersama TV Plasma 32”. Pihak ASTRO membelanjakan RM30 juta bagi membiayai projek ini. Kontrak selama tiga tahun (01.01.2009 - 31.12.2011). Pemasangan di PKG akan bermula pada awal Januari 2010 manakala pemasangan di sekolah pula pada hujung Januari 2010.

Semoga program ini akan dimanfaat sepenuhnya oleh warga KPM bagi memaksimumkan penggunaan teknopen dalam P&P.