Monday, December 14, 2009

Fokus: Sekolah prestasi tinggi

Pertubuhan guru mahu pemilihan babitkan kawasan bandar, luar bandar

LAPORAN akhbar Jumaat lalu memetik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai berkata Kementerian Pelajaran akan mengumumkan senarai 20 sekolah berprestasi tinggi, dalam sedikit masa lagi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penilaian pemilihan sekolah itu dibuat berdasarkan pencapaian menyeluruh mengikut kriteria ditetapkan, termasuk prestasi warga pendidik di sekolah berkenaan.

ebelum ini, beliau menjelaskan sekolah berprestasi tinggi akan diberikan kelonggaran merencana pentadbiran terutama dalam menetapkan kurikulum, pemilikan bajet serta pengurusan kakitangan berasaskan pencapaian selaras usaha kerajaan mempromosikan persekitaran kerja berprestasi tinggi.

Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi satu daripada komponen kecil Bidang Keberhasilan Utama Negara seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2010.

Beberapa pertubuhan guru dan ibu bapa menyatakan pelbagai pendapat mengenai pemilihan 20 kumpulan pertama daripada kira-kira 10,000 sekolah seluruh negara itu.


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan yang menyokong usaha kerajaan itu berharap kewujudan sekolah itu membolehkan institusi berkenaan bersaing di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng, berkata kerajaan perlu bersikap adil dalam membuat pemilihan sekolah itu, terutama dari segi keseimbangan kedudukannya di bandar dan luar bandar.

“Adalah tidak wajar sekolah berprestasi tinggi itu bertumpu di kawasan bandar, sedangkan di luar bandar diabaikan,” katanya.

“Saya percaya ibu bapa dan guru dapat menerima dengan baik sekiranya diperjelaskan objektif, misi dan visi mewujudkan sekolah berprestasi tinggi ini,” katanya.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional pula meminta Kementerian Pelajaran memperhalusi ciri sekolah itu kerana pelbagai status sekolah diperkenalkan sebelum ini, antaranya Sekolah Kluster, Sekolah Wawasan, Sekolah Lima Bintang, Sekolah Bestari dan terbaru Sekolah Amanah 1Malaysia.

Presidennya, Prof Madya Datuk Mohd Ali Hasan, berkata adalah lebih baik kementerian memperkasa dan melonjakkan sekolah kebangsaan sedia ada sebelum mengambil pendekatan mewujudkan sekolah berprestasi tinggi itu.

“Kita tidak perlu melonjak sekolah lain tetapi membaiki dan memantapkan dengan menjadikan sekolah jenis kebangsaan sebagai model seperti diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, baru-baru ini,” katanya.

Katanya, kewujudan Sekolah Elit sekarang pun belum tentu arah tuju yang perlu diutamakan dan memerlukan suntikan semula.

Majlis Guru Besar pula berharap pemilihan sekolah berprestasi tinggi itu dilaksanakan secara telus tanpa pilih kasih.

Yang Dipertuanya, Roslan Madun, berkata borang khas sekolah berprestasi tinggi perlu disediakan kementerian bagi memberi peluang sekolah yang layak memohon status itu.

“Kita perlu membuka permohonan kepada semua, sekiranya ada sekolah yang berasakan mereka layak berdasarkan kriteria ditetapkan, peluang itu harus diberikan.

“Kita tidak mahu anggapan pemilihan sesebuah sekolah itu kerana guru besar atau pengetuanya kawan atau baik dengan Jemaah Nazir atau panel penilai,” katanya.

Oleh Zabidi Hitam
bidi@bharian.com.my

No comments: