Thursday, April 1, 2010

Tubuh jawatankuasa khas kaji beban tugas guru - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 31 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian itu mendapati ada asas bahawa guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mengajar.

"Saya sudah arahkan jawatankuasa itu nanti mengenalpasti bagaimana masalah (bebanan tugas) itu boleh berlaku dan mencari penanda aras yang boleh kementerian guna pakai, sama ada dengan mengambil contoh piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi dari kita untuk dicontohi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Menurut beliau, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Alimuddin dan keanggotaannya turut membabitkan beberapa pegawai pelajaran serta wakil NUTP diberi masa selama dua bulan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Ditanya mengenai beban tugas berlebihan yang terpaksa ditanggung oleh guru, Muhyiddin berkata, antaranya adalah menguruskan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain yang perlu dibuat mengikut keperluan semasa.

"NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja pada setiap Sabtu, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan, guru boleh bercuti pada hari Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan disebabkan guru terbabit terlibat dengan banyak aktiviti.

"Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana kita tidak mahu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar dengan tumpuan sepenuhnya terhadap kelas terganggu disebabkan bebanan tugas lain yang terpaksa dipikul," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah turut mendapat maklum balas positif dari pihak NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

"Kementerian akan memastikan penekanan terhadap kokurikulum tidak akan sesekali membebankan guru. Sebab itu, kementerian menubuhkan jawatankuasa ini, tidak lain tidak bukan untuk mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan bebanan guru,"katanya.

Thursday, March 25, 2010

Persidangan Buku Kanak-kanak

MAJLIS Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBBY) akan menganjurkan Persidangan Buku Kanak-kanak pada 22 hingga 23 Mac ini.

Persidangan tersebut diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (PBAKL) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 19 hingga 28 Mac ini.

Menurut Pengerusi Bersama persidangan tersebut, Profesor Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, lima aktiviti utama akan diadakan sepanjang dua hari persidangan berlangsung iaitu seminar, bengkel penulisan buku kanak-kanak, bengkel ilustrasi buku kanak-kanak, pameran ilustrasi dan pertandingan ilustrasi.

Dengan bertemakan 'Literasi Kanak-kanak dalam Dunia yang Berubah', beberapa pembentang kertas kerja diundang untuk berkongsi pandangan masing-masing pada hari pertama persidangan.

''Selepas pembentangan kertas kerja tersebut, dua bengkel selari iaitu Bengkel Penulisan Buku Kanak-kanak dan Bengkel Ilustrasi Buku Kanak-kanak yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman Dr. Amida Abdul Hamid dan Yusuf Gajah akan diadakan pada sebelah petangnya dan diteruskan pada hari kedua persidangan.

''Kedua-dua bengkel tersebut terbuka kepada orang ramai yang berminat dan ingin mempelajari seni penulisan dan seni lukisan dalam bidang sastera kanak-kanak dengan lebih mendalam,'' katanya.

Pada bengkel tersebut, para peserta akan diberi pendedahan dengan idea-idea baru dalam dunia penulisan dan lukisan buku kanak-kanak di samping latihan dalam penghasilan karya secara serius.

Bagi mereka yang ingin menyertai bengkel tersebut, yuran penyertaan sebanyak RM100 dikenakan.

Namun, menurut Dr. Md Sidin, para peserta yang ingin menyertai bengkel penulisan perlu bersedia dengan cerita atau rangka cerita kanak-kanak masing-masing.

Sementara itu, bagi mereka yang berminat untuk menyertai bengkel ilustrasi pula perlu mempunyai latar belakang seni.

Sepanjang dua hari persidangan berlangsung, turut diadakan pameran ilustrasi oleh pelukis-pelukis tempatan untuk tatapan pengunjung PBAKL 2010.

Selain itu, pertandingan ilustrasi untuk golongan remaja berumur antara 13 hingga 17 tahun turut diadakan dengan dua tema pilihan iaitu 'Tokoh Malaysia' dan 'Watak dalam Cerita Malaysia'.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai persidangan ini boleh menghubungi Siti Ezaleila Mustafa di talian 013-2727188 atau emel di ezaleila@gmail.com.

Wednesday, January 20, 2010

Pemasangan Kampus ASTRO

Pada hari Jumaat, 15 Januari, installer ASTRO dari Kuala Kubu Bharu telah datang memasang peralatan ASTRO di PKG. Beliau hanya memasang 'outdoor unit' dan setting peralatan. Sekarang ni, kami dah dapat menonton Kampus ASTRO.

Kalau ada sekolah-sekolah yang nak tumpang tengok, marilah datang ramai-ramai ke PKG.