Wednesday, November 28, 2007

Kursus Penghasilan Bahan Promosi Menggunakan Perisian FLASH 8

Hotel Ancasa, MITC Melaka telah dikunjungi oleh 28 orang PTP PKG Negeri Selangor
bagi mengikut kursus di atas. Kursus bermula dengan pendaftaran dan taklimat pada petang Isnin, 26 November 2007. Kursus kali ini diuruskan oleh En. Shahbudin Seli, pegawai Unit Latihan PSPN Selangor.

Sesi ceramah diketuai oleh En. Zainal Abidin bin Sanip, pegawai Unit Media PSPN Selangor. Beliau merupakan seorang pegawai yang berpengalaman luas dengan penggunaan Macromedia Flash ini. Secara keseluruhannya, beliau telah mencurahkan semua ilmu dan pengetahuan beliau kepada para peserta.

Memang susah rupanya nak belajar Flash ni. Bukan setakat pening kepala sahaja, yang demam pun ada. Walau bagaimana pun, semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh setiap peserta telah memberikan keyakinan penuh pihak penganjur terhadap objektif kursus.


Tuesday, November 27, 2007

Kursus Literasi Komputer Desa

Kemahiran di dalam literasi komputer merupakan suatu keperluan pada masa kini. Menyedari akan hakikat ini, maka PKG Kalumpang telah mengorak langkah bagi mengadakan suatu kursus yang melibatkan komuniti setempat.

Kursus ini akan dijalankan sebanyak 10 siri, dengan setiap siri mengambil masa selama 3 hari. Sasaran peserta adalah penduduk kampung yang menetap atau bekerja di sekitar Kalumpang. Seramai 140 orang peserta telah pun mendaftar untuk mengikuti kursus ini. Setiap siri akan disertai oleh seramai 14 orang peserta.

Siri pertama, kedua dan ketiga telah pun dilaksanakan pada 15-17.11.2007, 22-24.11.2007 dan 26-28.11.2007. Sebanyak 7 siri lagi akan menyusul sebagaimana jadual kursus yang telah ditetapkan. Seramai 7 orang jurulatih dan 3 orang fasilitator juga telah bergilir-gilir bertugas di sepanjang masa kursus ini berjalan. Seorang urusetia daripada pihak RISDA juga turut membantu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kursus.

Kursus ini merupakan anjuran bersama pihak PKG Kalumpang dan RISDA Selangor Utara yang berpejabat di Kuala Kubu Bharu. Pihak PKG menyediakan tempat, peralatan kursus dan jurulatih manakala pihak RISDA pula menyumbangkan perbelanjaan elaun peserta dan saguhati penceramah.

Thursday, November 1, 2007

Bengkel Dokumentasi Bahan Inovasi

Bengkel berkenaan sedang diadakan di Hotel Chempaka, Kuala Lumpur. Program bermula sejak hari Isnin, 29 Oktober 2007 sehingga 02 November 2007. Objektif utama bengkel ini ialah mengumpul dan mendokumentasikan bahan-bahan inovasi yang telah dihasilkan oleh 4 buah PKG negeri Selangor. Bahan inovasi akan dipamerkan sempena Konvensyen BTPN Selangor 2007 yang akan diadakan pada 12-14 November 2007 di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya.

Bengkel diketuai oleh Pn. Hjh. Siti Amarah bt. Hj. Adnan, PTP DGA34 PSPN Selangor . 4 buah PKG yang terlibat ialah PKG Kalumpang, PKG Kg. Soeharto, PKG Kuala Selangor dan PKG Semenyih. Judul projek inovasi yang terlibat ialah Mutiara Minda, Lit's Fun & Easy, PI2M dan e-Pintas.

Aktiviti November dan Disember

Program En. Abd. Wahi (PTP DGA32)

1. Bengkel Dokumentasi Program Inovasi
  • Seri Cempaka,K.Lumpur
  • 29.10.2007 - 2.11.2007
2. Kursus Kejurulatihan Luar
  • Goldcourse, Klang
  • 01 - 07.11.2007
3. Bengkel Penilaian Skrip Video Korporat PPD
  • Taman Negara
  • 08 - 11.11.2007
4. Konvensyen Teknologi Pendidikan Negeri Selangor
  • Holiday Villa,Subang Jaya
  • 12 - 14.11.2007
5. Kursus Literasi Maklumat
  • Seri Malaysia,Genting
  • 19 - 22.11.2007
6. Kursus Flash
  • MITC ANCASA,Melaka
  • 26 - 29.11.2007
7. Perancangan Aktiviti 2008
  • Marina Cove,Lumut
  • 03 - 06.12.2007
Pening kepala - camne nak beritahu orang rumah ye...

Saturday, October 6, 2007

Majlis Berbuka Puasa

Majlis berbuka puasa PKG Kalumpang telah pun berjaya dilaksanakan pada hari Jumaat, 05 Oktober 2007. Pada tahun lepas, majlis berbuka puasa ini hanyalah untuk staf PKG Kalumpang sahaja, tetapi pada tahun ini, semua ahli PKG daerah Hulu Selangor telah dijemput hadir. 8 keluarga PTP dan staf telah meluangkan masa bagi menghadiri dan memenuhi jemputan ini.

Perbelanjaan bagi menampung program ini ditaja oleh En. Abd. Wahi bin Wahid, Ketua PTP PKG Kalumpang merangkap Ketua Daerah PKG Hulu Selangor. Selain itu, staf yang lain telah menambahkan juadah dengan sumbangan masing-masing sebagaimana adat Melayu.

Terima kasih kepada yang sudi hadir dan kepada sesiapa yang tidak dapat memenuhi jemputan ini, tak mengapa kita tunggu pula Jamuan Hari Raya nanti.

Tuesday, October 2, 2007

Pemantauan Minggu Ini

Assalamualaikum w.b.t.

Minggu ini nak ke mana pula ye...
Pemantauan dan penggredan PSS pastinya akan diteruskan. Semalam di SJK(T) Ldg. Changkat Asa, pagi tadi di SJK (C) Kerling, dan esok pula di SJK (C) Kalumpang. Itulah antara hikmah yang boleh dilihat bersempena dengan bulan ramadhan ini... Tak banyak keluar,,, so pegi memantau le.

Lepas tu... pada hari Jumaat ini, PKG Kalumpang akan mengadakan Majlis Berbuka Puasa. Buat kat mana??? Buat kat PKG je. Semua PTP dan staf PKG daerah Hulu Selangor dijemput hadir bersama-sama dengan ahli keluarga masing-masing. Sambil makan-makan boleh le kita berkenal mesra.

Tuesday, September 25, 2007

Kursus Penghasilan Skrip Video PPD Hulu Selangor

Kursus pendek berkenaan telah diadakan selama setengah hari di Bilik Mesyuarat, PPD Hulu Selangor. Bermula jam 9.00 pagi dan telah berakhir pada jam 12.30 tengahari. Turut hadir ialah Tuan PPD sendiri iaitu Tn. Hj. Suhaimi bin Rashid dan Penolong PPD iaitu En. Kamsah Mokhtar dan En. Rozali bin Mazlan.

Input telah diberi oleh En. Abd. Wahi bin Wahid, PTP PKG Kalumpang.

Friday, September 21, 2007

Johan Sekolah Rendah Jejak Maklumat Selangor

Tanpa disangka-sangka, pasukan dari PKG Kalumpang telah berjaya memenangi pertandingan sempena program Jejak Maklumat yang telah dilangsungkan di Taman Tasik Shah Alam. Pasukan ini merupakan gabungan seramai empat orang murid daripada 3 buah sekolah yang berbeza.

Pada 6 September yang lalu, telah berlangsungnya Program Jejak Maklumat bagi sekolah rendah di negeri Selangor. Program dianjurkan oleh PSPN Selangor dengan kerjasama JPN Selangor dan Perpustakaan Negeri. Sekalung tahniah buat murid-murid yang mewakili pasukan PKG Kalumpang. Tak lupa juga buat Guru Pengiring, Pn. Fauziah bt. Sukar dari SK Kalumpang.

Tuesday, September 18, 2007

Penilaian Anugerah Kecemerlangan PKG

Pada jam 10.30 pagi ini, 3 orang pegawai PSPN Selangor telah hadir ke PKG Kalumpang bagi membuat pemantauan dan penilaian Anugerah Kecemerlangan PKG. Pada tahun ini, sebanyak 3 kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Aktiviti, Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Keceriaan dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Perpustakaan PKG.
Hasrat untuk menang anugerah tersebut memang ada, tetapi disebabkan oleh kekangan masa... banyak benda yang tidak dapat disediakan. Yelah... kalau kita kata ada buat itu... ada buat ini... kenalah ada buktinya. Kalau takde bukti, camno...
Skuad penilai terdiri daripada Pn. Hjh. Rokiah bt. Hashim, Pn. Hjh. Siti Amarah bt. Hj. Adnan dan Pn. Hjh. Noraini bt. Mohd. Junid. Tahniah kerana berjaya melaksanakan tugas anda dengan selamat.

Monday, September 17, 2007

Aktiviti yang lepas

En. Abd. Wahi Wahid

3-6 Julai - Penceramah Kursus Aplikasi ICT Guru Makmal di Pangkor

9 Julai - Mesyuarat Bersama Jabatan (MBJ) 02/2007 di BTP

18-19 Julai - Program Pemantapan NILAM Daerah Hulu Selangor

20 Julai - Mesyuarat JK Pembangunan dan Kemajuan PKG Selangor

26 Julai - Kursus MSS Schoolnet di SK Hulu Bernam

30 Julai - 2 Ogos - Penceramah Kursus Asas Video di Melaka

3 Ogos - Mesyuarat JK Pemantauan Pusat Akses Negeri Selangor

14 - 16 Ogos - Bengkel Manual Pengurusan Organisasi

27-30 Ogos - Penceramah Kursus Aplikasi ICT di Kelang (Guu KHB)

3-5 September - Mesyuarat Pemantauan Sudut 'Streetsmart' di BTPN Sabah

10 September - Perhimpunan Bulanan PSPN Selangor

12 September - Mesyuarat Penyelarasan PKG Daerah Hulu Selangor

14 September - Mesyuarat Pembinaan Video Korporat

Memang letih, tapi kerja tetap kerja... mesti diselesaikan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

Thursday, September 13, 2007

Aktiviti Sepanjang Julai dan Ogos

Assalamualaikum w.b.t.

Selamat bertemu lagi... dah lama tiada apa-apa berita terbaru yang dimasukkan ke dalam blog ini. Masalahnya, blog tidak dapat diakses menerusi rangkaian Schoolnet. So, macamana nak update berita kannnnn.

Hari ini... boleh pula akses sepenuhnya, jadi sempatlah saya serba sedikit update laman ni. Tapi, ada kerja lain pula nak buat ni... Saya sipakan kerja tadi tu dulu. Lepas tu barulah boleh update lagi berita terbaru.

Saturday, August 11, 2007

Lagu 'Malaysiaku Gemilang' Sempena Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan

Marilah kita semua
Atas nama negarabangsa
Dengan Tekad mulia
Mencipta keagungan

Berpadulah kita semua
Di dalam satu suara
Dengan degupan Merdeka
Menjulang budaya bangsa
Untuk Malaysia tercinta

Malaysiaku gemilang
Merdekanya terbilang
Berdaulat dan makmur
Berjaya kami syukur

Malaysia, kebebasan kedamaian
Malaysia, kebahagiaan kebanggaan
Malaysia, cemerlang terbilang
Malaysiaku gagah gemilang

Muzik oleh : Nik Nizam Jaafar - Istana Budaya
Lirik oleh : Rais Yatim & Hairul Anuar Harun

Lagu di atas boleh dimuaturun menerusi laman web KEKKWA
http://www.heritage.gov.my/kekkwa

Friday, July 27, 2007

Kursus MSS Schoolnet

Kursus Pengurusan Keselamatan Rangkaian (MSS) Schoolnet bagi Zon Utara telah selamat diadakan pada 26 Julai 2007 di SK Hulu Bernam. Bertempat di Makmal Komputer sekolah, seramai 23 orang guru Penyelaras Makmal Komputer @ Penyelaras ICT telah menyertai kursus anjuran PPD Hulu Selangor ini.

En. Abd. Wahi telah bertindak sebagai urusetia kursus di samping turut menyertai kursus ini. Banyak ilmu baru yang telah dapat dipelajari semasa kursus ini. Kursus telah disampaikan oleh En. Hanafiah daripada GITN Sdn. Bhd. Disamping itu, dua bengkel juga telah diadakan sebagai pemangkin kepada mengukuhkan lagi pemahaman peserta kursus.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada En. Rozali Mazlan, KUTV PPDHS kerana memberi peluang kepada PTP PKG mengikuti kursus ini. Begitu juga kepada Guru Besar SK Hulu Bernam yang membenarkan penggunaan Makmal Komputer serta En. Mohd. Khoiri yang bertindak sebagai urusetia kursus.

Wednesday, July 25, 2007

Amaran Kepada Penulis Blog

Judul di atas menjadi berita utama akhbar Berita Harian hari ini. Antara intisari berita tersebut adalah seperti di bawah :-

Najib dalam ucapannya menjelaskan perkembangan mendadak teknologi komunikasi menyebabkan media cetak dan elektronik kini bukan lagi menjadi pembekal tunggal maklumat. Bagaimanapun, katanya, pengendali dan penulis laman web juga mesti menunjukkan sikap bertanggungjawab, berhati-hati dan teliti serta menghargai hasrat rakyat Malaysia untuk membina sebuah negara yang aman dan stabil. “Tindakan sesetengah pengendali dan penulis laman web bercanggah dengan profesionalisme pengamal media serta melanggar etika kewartawanan yang mengajar wartawan melapor yang benar, bersikap objektif, saksama dan memperoleh maklumat dari sumber rasmi dan sahih.

Nampaknya banyak juga yang telah diperkatakan mengenai penulis blog sebelum ini, termasuklah YAB Pak Lah sendiri. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, semestinya kita tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang. Sebarkanlah berita, cerita dan komen yang memberi manfaat kepada bidang kita. Jangan sesekali kita melanggar amanah yang diberi.

So, to all my friend - kita 'go blog' bukannya 'goblog'.

Tuesday, July 24, 2007

Dapatkan koleksi logo

Inginkan logo hari kebangsaan negara kita? klik sahaja pada link album gambar.

Tuesday, July 17, 2007

Logo Hari Kebangsaan

Reka bentuk logo ini diilhamkan daripada Jalur Gemilang sedang berkibar yang merupakan bendera kebangsaan rakyat Malaysia. Kibaran Jalur Gemilang melambangkan semangat kecintaan rakyat pada negara. Jalur merah dan putih digayakan dalam bentuk angka lima manakala bentuk bulan dan bintang dijadikan angka kosong yang mana ia menjadikan angka 50 yang menjadi tonggak utama logo ini sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50. Bahagian di hujung angka 5 terus disambungkan pada stigma bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia. Pada stigma itu diletakkan lima titik dihujungnya yang bermaksud lima prinsip Rukun Negara yang menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

Bentuk dasar logo adalah bulat yang ‘italic/slanted’ ke kanan. Bentuk ini adalah dinamik yang memberi maksud kemajuan pesat yang dialami oleh negara Malaysia sejak 50 tahun mencapai kemerdekaan. Bentuk bulat juga bermaksud rakyat Malaysia berbilang kaum yang bersatu dalam mencapai nikmat dan kemajuan sepanjang 50 tahun usia kemerdekaan. Warna merah dan putih melambangkan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru bermaksud perpaduan yang dijalinkan oleh rakyat. Manakala kuning adalah melambangkan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong dan juga bermaksud kegemilangan yang dikecapi semenjak 50 tahun usia kemerdekaan Malaysia.

Friday, July 13, 2007

Program Pemantapan Pengurusan PSS dan Rakan Pembaca

Program bagi daerah Hulu Selangor akan dilaksanakan pada 19 Julai 2007 di Dewan SAMT Kuala Kubu Bharu. Ia merupakan anjuran bersama BTPN Selangor dan PPD Hulu Selangor. Pihak PKG akan bertindak sebagai pelaksana program ini. Seramai 64 orang Pengetua/Guru Besar serta 64 orang GPM akan terlibat dengan program ini.

Objektif utama program sehari ini ialah :
a. Meningkatkan tahap pengurusan Pusat Sumber Sekolah
b. Meningkatkan tahap penggunaan PSS di kalangan guru dan pelajar
c. Meningkatkan kadar pembacaan di kalangan pelajar sekolah
d. Meningkatkan kadar murid yang mencapai tahap Rakan Pembaca

Di samping itu, sebanyak 7 pameran juga dijangka akan diadakan. Pameran yang terlibat ialah mesin pencetak digital, automasi PSS, buku bacaan dan bahan P&P.

Bulan Membaca Kebangsaan

Perpustakaan Negara Malaysia telah mengisytiharkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca Kebangsaan. Apa tunggu lagi, marilah kita sama-sama menyertai dan menggalakkan lagi pembacaan di kalangan murid, guru dan rakyat Malaysia. Mulakan dengan diri kita sendiri, kemudian keluarga dan lepas tu kepada komuniti setempat.

Tuesday, July 10, 2007

Mesyuarat MBJ BTP

Minggu ini dah masuk hari kedua. Semalam saya menghadiri Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan di BTP. Seramai 50 orang pegawai BTP serta KPP PSPN Sabah dan KPP PSPN Selangor turut bersama di dalam mesyuarat ini. Mesyuarat dipengerusikan oleh Pn. Rozainun Ahmad, Timbalan Pengarah BTP.

Banyak perkara yang dibincangkan demi untuk kebaikan staf bermula dari yang tertinggi sehinggalah kepada pemandu dan PRA. Antaranya ialah kebajikan staf BTP dan rangkaian, kenaikan pangkat, penempatan pegawai, kompetensi dan pembekalan peralatan staf.

Memang banyak kebaikannya mesyuarat ini. Namun begitu, pada pandangan saya masih ada lagi ruang yang boleh dimanfaatkan agar kebajikan semua staf BTP dan rangkaian dapat dijaga dengan sempurna.

Monday, July 2, 2007

Aktiviti Minggu Ini

Pada minggu ini PTP PKG DGA32 akan ke Pulau Pangkor, manakala PTP DGA29 pula akan ke Hotel Empress, Sepang.

Kursus di Pulau Pangkor akan diadakan pada 03-06 Julai 2007 di Coral Bay Resort. Kursus Guru Makmal Komputer Daerah Hulu Selangor ini dianjurkan oleh PPD Hulu Selangor. En. Abd. Wahi akan bertindak sebagai penceramah dan fasilitator kursus. Antara pengisian kursus ialah PKR dan menyiapkan laman web sekolah.

Mesyuarat ISO di Hotel Empress, Sepang pula dianjurkan oleh PSPN Selangor pada 02-06 Julai 2007.

Mesyuarat Semakan SKT Setengah Tahun 2007

Mesyuarat berkenaan telah pun diadakan pada 25-28 Jun 2007 di Hotel Seri Costa, Melaka. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Tuan KPP PSPN Selangor, Tuan Haji Ahmad Dahlan bin Kardi. Semua Ketua Unit juga turut hadir bersama 8 orang PTP PSPN. Semua PTP PKG DGA32 juga telah hadir.

Pembentangan dan semakan SKT PSPN dijalankan pada pagi 26 Jun 2007, manakala pada sebelah petangnya diteruskan dengan semakan SKT PKG pula. Pembentangan SKT PKG dibuat mengikut daerah. Daerah Hulu Selangor mendapat giliran pertama dan pembentangan dilakukan oleh En. Abd. Wahi bin Wahid, Ketua PTP PKG Daerah.

Sebelum balik, pada pagi Khamis, Tuan Haji Abu Omar bin Mos telah membentangkan perancangan projek mega PSPN Selangor.

Saturday, June 23, 2007

Karnival Membaca 2007

Pada 23 Jun 2007, satu Program Mesra Rakyat (Karnival Membaca NILAM) DUN Hulu Bernam telah diadakan di SK Hulu Bernam, Selangor. Program ini dijayakan bersama oleh Pejabat DUN Hulu Bernam, Puteri UMNO Bahagian Hulu Selangor, PKG Kalumpang dan PSS SK Hulu Bernam.

Majlis telah pun dimulakan pada jam 9.00 pagi. En. Abd. Wahi, PTP PKG Kalumpang telah melancarkan Bulan NILAM SK Hulu Bernam seterusnya telah menyampaikan lencana Rakan Pembaca kepada murid yang berjaya menjadi ahli Kelab Rakan Pembaca.

Majlis pada pagi ini diserikan lagi dengan Pertandingan Bulan NILAM iaitu Bercerita, Membaca Pantas, Deklamasi Sajak dan Bersyair.

Pada jam 2.30 petang pula, aktiviti telah beroperasi di 7 buah stesen. Setiap stesen menjalankan aktiviti yang berbeza mengikut panitia. Antaranya ialah BM, BI, J-qaf, Prasekolah, Pendidikan Khas, Terminal Minda dan Pusat Akses.


Thursday, June 21, 2007

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Akses Selangor

Mesyuarat Kali ke 2 di atas telah selamat diadakan pada 20.06.2007 di PSPN Selangor. PSPN Selangor diwakili oleh Tn. Hj. Abu Omar, En. Khairie dan Pn. Suhaida manakala JPN Selangor diwakili oleh Tn. Hj. Bahari. Turut serta ialah Penyelia Pembangunan PPD bagi setiap daerah dan Ketua PTP PKG Daerah. Pihak SJA Trade & Services Sdn. Bhd. iaitu vendor bagi negeri Selangor diwakili oleh En. Shamsul Azrin.
Mesyuarat bermula jam 9.00 pagi dan tamat pada jam 12.40 tengahari. Pelbagai perkara telah dibincangkan termasuklah :
1. pemasangan Pusat Akses Fasa 1, 2 dan 3.
2. status pemasangan bagi setiap fasa
3. masalah yang dihadapi semasa pemasangan
4. pencalonan sekolah bagi Fasa 4

Thursday, June 14, 2007

Pemantauan Sekolah

Minggu ini sahaja, 8 buah sekolah telah dipantau dalam aspek yang berbeza. Kedua-dua PTP PKG telah pergi secara berasingan bagi mempercepatkan lagi proses pemantauan ini. Senarai sekolah adalah seperti berikut :

En. Abd. Wahi Wahid
11.06.2007 - SJK(T) Ladang Kerling (Schoolnet, Media dan Pembestarian)
11.06.2007 - SK Kerling (Schoolnet dan Pusat Akses Sekolah)
12.06.2007 - SMK Kalumpang (Schoolnet dan Pusat Akses Sekolah)
12.06.2007 - SK Kerling (Makmal Komputer - PKR)
12.06.2007 - SJK(C) Kalumpang (Schoolnet dan Pusat Akses Sekolah)

Pn. Khairul Faridah Hasan
12.06.2007 - SMK Kalumpang (PSS dan NILAM)
12.06.2007 - SJK(T) Ladang Kalumpang (PSS dan NILAM)
13.06.2007 - SJK(C) Kalumpang (PSS dan NILAM)
13.06.2007 - SJK(T) Ladang Changkat Asa (PSS dan NILAM)

Bila dah memantau, peninglah pulak nak buat laporannya.

Wednesday, June 13, 2007

Barang Pelupusan 2007


Twin Deck Radio Slide Projektor




Bangku Bengkel PA Sistem UMPEX Polaroid Reader




Grafik Table Paper Trimmer Rak Buku Mobail

Friday, June 8, 2007

Pertandingan Bowling PKG Hulu Selangor


Aksi membaling bola 'strike', 'spare' dan ke longkang


Juara individu wanita dan juara individu lelaki

PKG di daerah Hulu Selangor telah bersatu hati dan mengambil kata sepakat untuk menganjurkan Pertandingan Bowling secara tertutup bagi staf PKG di daerah ini. Objektifnya tentulah mengeratkan lagi persahabatan antara staf PKG selain beriadah secara sihat. Program ini diadakan pada jam 3.00 petang (23.02.2007) di Perangsang Golf and Templer, Rawang.

Walau bagaimanapun, hanya 6 orang daripada 11 staf sahaja yang menyertai pertandingan ini. 5 orang lagi tidak dapat turut serta atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Para peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan.

Riuh rendah pusat bowling berkenaan walaupun hanya 6 orang peserta sahaja yang mengambil bahagian. Siap dengan sesi tunjuk ajar lagi, sebab ada yang tidak pernah memegang bola bowling sebelum ini. Walaupun begitu, semangat yang ditunjukkan sememangnya jitu dan waja. Mujurlah longkang bowling tu keras, kalau tidak tentu ada yang pecah sebab banyak bola yang masuk ke longkang.

Keputusan seperti berikut :
Johan keseluruhan - Kumpulan B (Azman Aris, Semariati Kiman, Ruzana Tukimon)
Kedua keseluruhan - Kumpulan A (Abd. Wahi, Khairul Faridah, Norul Huda)
Juara Lelaki - Azman Aris
Juara Wanita - Semariati Kiman

Monday, June 4, 2007

Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Selangor

Tuan Mohd. Salleh bin Mohd. Kassim, PPD Hulu Selangor secara rasmi telah bertukar ke daerah Kuala Langat sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Langat, mulai 01.06.2007. Sebagai mewakili semua rakan PKG di daerah ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih di atas kesudian tuan PPD kerana memberi ruang untuk kami turut serta di dalam apa jua aktiviti di daerah ini.


Walaupun tempoh bertugas di sini tidak lama, namun sikap mudah mesra dan keprihatinan di dalam bidang pendidikan telah mengujudkan suasana kerja yang amat menyenangkan kami. Kerjasama yang ditunjukkan oleh Tuan Mohd. Salleh amatlah disanjung tinggi. Semoga senario pendidikan di daerah Kuala Langat juga akan dilimpahi dengan 'aura' tuan.


Tempat beliau akan diambilalih oleh Tuan Haji Suhaimi bin Rashid yang sebelum ini merupakan Penolong PPD Sektor Pengurusan Sekolah daerah Hulu Selangor. Semoga kepimpinan dan pengalaman luas tuan selama bertugas di daerah ini akan membantu kegemilangan pendidikan daerah Hulu Selangor.

Monday, May 28, 2007

Tokoh Guru Hulu Selangor 2007

Pada Sambutan Perayaan Hari Guru daerah Hulu Selangor tahun ini, pihak PPD telah memberi Anugerah Tokoh Guru kepada Tuan Haji Samsudin bin Sidek. Beliau merupakan bekas Pegawai Teknologi Pendidikan di PSPN Selangor yang menamatkan perkhidmatan perguruannya sebagai Guru Besar di SK Kuala Kubu Bharu.

Tuesday, May 22, 2007

Alamat E-mel Rasmi

Kemudahan e-mail bagi PKG seluruh negara telah dipertingkatkan lagi. Kali ini menggunakan enjin yang dijana oleh BTP sendiri. Oleh itu, untuk penghantaran dan pertukaran maklumat secara rasmi, para pelanggan boleh menggunakan alamat e-mail yang terbaru ini.

Berikut dipaparkan alamat e-mail untuk semua PKG di daerah Hulu Selangor.

PKG Kalumpang - pkg_kalumpang@moe.edu.my
PKG Kuala Kubu Bharu - pkg_k_kubu_baru@moe.edu.my
PKG Kg.Soeharto - pkg_kg_soeharto@moe.edu.my
PKG Sg.Choh - pkg_sg_choh@moe.edu.my

Para pengguna dan pelanggan PKG bolehlah menghantar e-mail ke alamat di atas sekiranya ingin berhubung dengan kami.

Friday, May 18, 2007

SELAMAT HARI GURU 2007

16 Mei menjelang lagi. Ia merupakan tarikh keramat bagi para guru yang berkhidmat di negara ini. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) dan telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Di mana-mana sahaja majlis untuk meraikan jasa dan pengorbanan guru akan diadakan. Majlis sambutan diadakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahu pun sekolah. Ada yang meriah dan gilang-gemilang, namun ada juga yang diraikan secara ala kadar sahaja. Ada yang diraikan bersama masyarakat luar, PIBG dan ada yang diraikan sebagai acara dalaman sahaja.

Jasa dan pengorbanan guru sememangnya tidak boleh dilupakan. Sekali insan itu bergelar guru, selama-lamanya menjadi guru. Itulah kelebihan guru. Kerja guru adalah kerjaya yang dianggap amat mulia di sisi semua agama di dunia ini.
Kerana gurulah wujudnya pemimpin negara yang berkaliber, kerana gurulah wujudnya golongan bangsawan dan profesional yang menerajui sesebuah negara, institusi mahu pun korporat. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa tanpa adanya guru maka akan pincanglah sesebuah negara, masyarakat dan keluarga.
Hari Guru di peringkat kebangsaan telah diadakan di Johor Bharu pada jam 8.00 malam 16 Mei yang lepas. Sambutan gilang-gemilang ini telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Haji Abdullah bin Ahmad Nawawi.
Manakala di peringkat negeri Selangor pula telah diadakan pada jam 9.30 pagi 19 Mei 2007 di Wisma PKPS, Shah Alam. Perasmian telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Selangor iaitu Dato' Seri Haji Mohd. Khir bin Toyo.
Peringkat Daerah Hulu Selangor pula akan mengadakan Sambutan Hari Guru pada 24 Mei 2007 bersamaan dengan hari Khamis di Akademi Bomba, Kuala Kubu Bharu.
SELAMAT HARI GURU.

Thursday, May 17, 2007

Wacana Penyelidikan Teknologi Pendidikan

Pada 13-15 Mei 2007, pihak BTPN Johor dan Sektor R&D BTP telah menganjurkan Wacana Penyelidikan Teknologi Pendidikan di New York Hotel, Johor Bharu. Program ini telah disertai oleh semua PTP PKG seluruh negara. Turut serta ialah pensyarah daripada beberapa universiti tempatan yang telah bekerjasama dengan BTP di dalam menjalankan beberapa kajian dan penyelidikan.
Sebanyak 2 kajian penyelidikan telah dibentangkan di dalam wacana ini. Selain itu, sebanyak 5 proposal juga didedahkan kepada para peserta.
Majlis Perasmian program telah disempurnakan oleh Puan Rozainon bt. Ahmad, Timbalan Pengarah BTP pada jam 11.00 pagi 14 Mei 2007. Majlis Makan Malam bagi meraikan para peserta wacana telah diadakan pada malam 14 Mei dan telah disertai sama oleh Dato' Hj. Yusoff bin Harun, Pengarah BTP sendiri.

Friday, May 11, 2007

Gambar Khemah Membaca 2007

Peserta sedang mendaftar








Sesi 'Ice Breaking'









Kenangan di Perpustakaan UPSI

Lagu Tema Hari Guru 2007


GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG

CIPTAAN : ROSLI BIN AHMAD BTP 2007

KEUNGGULAN,
KECEMERLANGAN PENDIDIKAN TELAH DIBUKTIKAN
GURU SEJATI BERILMU TINGGI
HIDUP BERBUDI SEIKHLAS HATI

GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG
MASYARAKAT BERILMU BERBUDAYA CEMERLANG
GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG
PENCAPAIAN CEMERLANG GEMILANG DAN TERBILANG

KETERAMPILAN,
KECANGGIHAN KEILMUAN DIREALISASIKAN
GURU SEJATI KASIH INSANI
GIGIH BERUSAHA DEMI PERTIWI

GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG
MASYARAKAT BERILMU BERBUDAYA CEMERLANG
GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG
PENCAPAIAN CEMERLANG GEMILANG DAN TERBILANG

TAK DIHIRAUKAN CABARAN
DENGAN JAYA DIRENTASI
KEJAYAAN KAN DIMILIKI
IKRAR PASTI DIKOTA JANJI KAN TERLAKSANA
DEMI MALAYSIA TERCINTA

GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG
MASYARAKAT BERILMU BERBUDAYA CEMERLANG
GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG
PENCAPAIAN CEMERLANG GEMILANG DAN TERBILANG

GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG
MASYARAKAT BERILMU BERBUDAYA CEMERLANG
GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG
PENCAPAIAN CEMERLANG GEMILANG DAN TERBILANG

Monday, May 7, 2007

Kursus Penghasilan Dokumentasi

Bertemu lagi kita ye...
Kali ini, PKG Kalumpang akan mengadakan pula satu kursus di mana pada akhirnya para peserta akan dapat menghasilkan bahan dokumentasi untuk apa sahaja aktiviti yang dijalankan di sekolah. Kursus ini leih menekankan kepada penghasilan dokumentasi dalam bentuk bercetak.
Peserta kursus terdiri daripada barisan Guru Perpustakaan dan Media sekolah ahli. Penceramah pula diundang khas dari sebuah institusi pendidikan yang terkemuka. Menerusi pengalaman menjadi AJK bahagian dokumentasi sejak dahulu lagi, penceramah kursus ini akan cuba untuk meluahkan ilmunya kepada guru-guru lain.
Selain daripada menghasilkan dokumentasi untuk sekolah (PSS khususnya), peserta juga diharap akan berupaya untuk menjadi AJK Dokumentasi di dalam apa juga aktiviti samada di peringkat daerah, negeri mahu pun kebangsaan.
Sekian, selamat berjaya.

Friday, May 4, 2007

Penilaian dan Pemantauan Makmal Komputer

Penilaian dan Pemantauan Makmal Komputer bagi Daerah Hulu Selangor telah pun selamat dijalankan dari 23 April 2007 sehingga 03 Mei 2007. Seramai 13 orang pemantau telah pun diamanahkan oleh pihak PPD Hulu Selangor untuk melaksanakan program ini. Program ini diselia oleh En. Rozali Mazlan, KUTV PPD Hulu Selangor sendiri.
Saya sendiri telah pun menjalankan pemantauan dan penilaian ke 12 buah makmal komputer. Bermula dengan sekolah di Zon Utara pada 23 April 2007 iaitu SK Seri Fajar, SK Sg. Tengi, SK Kg. Soeharto dan SK Sri Keledang. Seterusnya pada 24 April 2007, 4 buah sekolah lagi dipantau iaitu SK Gedangsa, SK Sg. Selisek, SK Hulu Bernam dan SK Kalumpang. Pada kedua-dua hari ini, pemantauan dijalankan bersama dengan Tuan Syed Hassan, GPB SMK KKKB.
Kemudiannya, pada 25 April 2007 saya bergandingan pula dengan En. Wan Zaki bin Wan Muda, Penyelaras ICT SMK Bandar Baru Batang Kali. Sekolah yang terlibat ialah SJK(C) Batang Kali, SK Ulu Yam Lama, SK Antara Gapi dan SK Serendah.

Wednesday, May 2, 2007

Lawatan Kerja PKG Daerah Sabak Bernam

Pada 19 April yang lepas, seramai 10 orang staf PKG dari daerah Sabak Bernam telah membuat lawatan kerja ke PKG Kalumpang. Rombongan ini telah diketuai oleh Tuan Haji Ghazali bin Ismail, Ketua PKG Batu 38 merangkap Ketua Daerah bagi PKG daerah Sabak Bernam.

Objektif lawatan adalah untuk melihat pengurusan dan kemajuan PKG rakan di samping bertukar-tukar fikiran mengenai pembangunan PKG itu sendiri. Pertukaran dan perkongsian maklumat ini diharap akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Selain itu, rombongan ini juga telah melawat ke PKG Kampung Soeharto dan PKG Kuala Kubu Bharu. Rombongan tersebut telah diraikan dengan jamuan tengahari secara ala kadar sebelum mengundur diri. Di akhir majlis, kedua-dua pihak telah bertukar-tukar cenderamata sebagai kenang-kenangan.

Saturday, April 21, 2007

Kejayaan Pelaksanaan Khemah Membaca 2007

Berita menggembirakan. Setelah bertungkus-lumus selama 3 hari, akhirnya Khemah Membaca anjuran PKG Kalumpang berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Walau bagaimana pun terdapat sedikit pengubahsuaian telah dilakukan.
Perancangan asal yang dirangka adalah para peserta akan menginap. Namun begitu, di dalam mesyuarat terakhir, beberapa sekolah memohon agar murid tidak bermalam sebaliknya berulang. Oleh itu, sedikit ubahsuai dilakukan terhadap Jadual Pelaksanaan Khemah Membaca ini.
Pihak penganjur telah mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada 9 orang Guru Perpustakaan dan Media sekolah ahli. Mereka telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi bagi memastikan kelancaran program ini.
Bagi para peserta yang tidak dijemput balik oleh ibu bapa, guru-guru inilah yang menghantar peserta ini pulang ke rumah pada waktu petang. Mereka telah memainkan peranan sebagai guru pengiring, urusetia malahan fasilitator bagi setiap aktiviti yang dirangka.
Pihak penganjur juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pn. Semariati bt. Kiman (PKG Kuala Kubu Bharu) dan Pn. Salamah bt. Udin (SMK Serendah) yang telah memberikan khidmat bakti sebagai penceramah bagi slot Kemahiran Membaca, Kemahiran Maklumat dan Pengetahuan Am.
Begitu juga buat Ketua Pustakawan Perpustakaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang turut sama memberikan bantuan pada hari kedua program. Seramai 11 orang staf Perpustakaan UPSI telah turut sama meraikan para peserta seterusnya memberi input berkaitan Kaedah Pencarian Maklumat. Para peserta memberikan respons yang amat positif semasa menyertai program di situ.
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh En. Mohd. Hasren bin Damiri, wakil Tuan PPD Hulu Selangor pada petang 19.04.2007. Pn. Rusliza bt. Yaacob, wakil Ketua Pustakawan UPSI juga turut serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang beberapa pertandingan yang dijalankan.
Pertandingan yang dijalankan adalah :
1. Pencarian Maklumat
2. Persembahan Kumpulan
3. Peserta Pilihan SMS (L)
4. Peserta Pilihan SMS (P)
Akhir kata, kejayaan penganjuran Khemah Membaca ini tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan, kerjasama dan komitmen semua pihak yang terlibat. Tahniah juga buat Pengetua dan Guru Besar sekolah ahli yang telah menghantar murid bagi menjadi peserta program ini.

En. Abd. Wahi bin Wahid
Pn. Khairul Faridah bt. Hasan
En. Mohd. Nazzary bin Shamsuddin

Friday, April 13, 2007

Khemah Membaca PKG Kalumpang 2007

Jawatankuasa Pengurusan Aktiviti PKG Kalumpang akan mengadakan Khemah Membaca pada 17 – 19 April 2007. Program ini akan disertai seramai 34 orang murid daripada 9 buah sekolah ahli PKG.
Sekolah menengah dan sekolah kebangsaan akan menghantar 5 orang murid bagi setiap sekolah manakala sekolah jenis kebangsaan tamil pula seramai 2 orang murid. Pecahan peserta adalah seperti berikut :

1 SMK Kalumpang 5
2 SK Kalumpang 5
3 SK Kerling 5
4 SK Hulu Bernam 6
5 SK Lembah Beringin 5
6 SJK (T) Ladang Kalumpang 2
7 SJK (T) Ladang Changkat Asa 2
8 SJK (T) Ladang Escot 2
9 SJK (T) Ladang Kerling 2

Pelbagai aktiviti telah dirancang. Antaranya termasuklah :
1. Ice Breaking
2. Kemahiran Membaca
3. Lawatan ke Perpustakaan UPSI
4. Ujian Lisan dan Bertulis
5. Persembahan Kumpulan
Semoga usaha murni ini akan dapat memberi impak yang mampu menjana modal insan bagi membangunkan negara ini di masa akan datang.

Pusat Akses Fasa 1 dan 2

Pusat Akses Sekolah Fasa 1 dan 2 telah pun siap dibina dan boleh digunakan. Semua Penyelaras Pusat Akses diminta memberikan laporan tentang keadaan serta keupayaan semua komputer bagi mengakses internet.
Sila berikan justifikasi sebab perkara tersebut terjadi untuk memudahkan pihak PKG membuat persediaan awal sebelum turun ke sekolah.
Pagi tadi, saya telah ke SK Rasa selepas menerima aduan pihak sekolah bahawa internet tidak berfungsi. Saya telah membuat pemeriksaan menyeluruh tetapi gagal untuk membaikinya. Semua langkah pengujian Schoolnet seperti yang tertera pada modul PKR telah dijalankan namun akses internet tetap gagal. Walau bagaimana pun, pihak GITN telah dihubungi dan aduan kerosakan telah dibuat.

Monday, April 9, 2007

Bulan Pembestarian

Bulan April telah dimasyurkan sebagai Bulan Pembestarian oleh Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein. Fokus utama terarah kepada dua fokus utama iaitu
1. membestarikan semua sekolah
2. memantapkan 88 buah sekolah bestari

Menurut Dato' Seri Hishammuddin, melalui fokus bulanan ini, semua bahagian dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dan mereka semakin berkemampuan untuk mempakejkan produk masing-masing sebagai satu pakej berdasarkan teras-teras dalam PIPP. Ia samalah serampang dua mata.

Mulai bulan April ini, Kementerian Pelajaran melaksanakan program pembestarian sekolah dan pemantapan serta penjenamaan semula 88 sekolah bestari di seluruh negara. Ia bagi merealisasikan teras ketiga PIPP 2006-2010, iaitu memperkasa sekolah kebangsaan.

Fokus ini untuk membantu warga KPM dan orang ramai memahami teras-teras dalam PIPP, program dan projek yang ada di dalam teras-teras tersebut dan status pelaksanaannya yang terkini. Dari segi yang lain pula, ia membantu warga KPM agar tindakan mereka lebih berfokus, mempunyai sasaran dan bertindak melaksanakan program-program ini dalam satu pakej dengan segera dan tanpa berlengah-lengah lagi. Lebih-lebih lagi kerana kita perlu melaporkan pelaksanaannya kepada Jemaah Menteri dari semasa ke semasa dan kepada orang ramai dua kali setahun, bermula bulan Jun tahun ini.

Dalam bulan ini, kita akan memaklumkan kepada orang ramai tentang pelaksanaan dua program utama iaitu pertamanya, program pembestarian sekolah dan keduanya, usaha pemantapan dan penjenamaan semula 88 sekolah bestari. Kita akan berusaha memberikan penjelasan kepada orang status pelaksanaan kedua-dua program ini, sejauh mana ia telah dilaksanakan sejak bermulanya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sejauh mana kejayaan atau kekangan yang dihadapi seterusnya langkah-langkah yang hendak diambil atau tindakan penambah-baikan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh RMK-9 ini bagi memastikan matlamat pelan induk pendidikan ini dapat dicapai.

Pada waktu yang sama, kita akan melaksanakan juga program-program yang telah kita rancang seperti melaksanakan latihan kepada guru dalam ICT, mengadakan pusat akses di sekolah-sekolah, membentuk kerjasama dengan pihak luar KPM bagi membantu mempercepatkan proses pembestarian di sekolah-sekolah dan sebagainya.

Kisah selanjutnya boleh diperoleh melalui wawancara Mingguan Malaysia bertarikh 8 April 2007.

Saturday, April 7, 2007

Mesyuarat Penyelarasan PKG Daerah Hulu Selangor

Mesyuarat berkenaan telah diadakan pada 02 April 2007 (Isnin) bertempat di PKG Sungai Choh. Semua pegawai dan staf sokongan Pusat Kegiatan Guru di daerah Hulu Selangor telah menghadirinya. Turut hadir ialah Pn. Nik Asma bt. Nik Ahmad, Ketua Unit PSS dan PKG PSPN Selangor.

Mesyuarat bermula jam 9.30 pagi dan telah dipengerusikan oleh En. Abd. Wahi bin Wahid, Ketua PKG Kalumpang merangkap Ketua PKG Daerah Hulu Selangor. Banyak perkara yang telah dibincangkan di dalam meyuarat ini yang berlarutan sehingga jam 4.00 petang. Antaranya ialah :
- penyelesaian kerja PKR
- pembangunan PKG daerah
- pengurusan Pusat Akses - audit dan pemantauan
- Pertandingan Pusat Sumber Sekolah
- Khidmat bantu PSS daerah
- Kem NILAM daerah
- Khidmat bantu PKG Sg. Choh
- Hari Keluarga PKG daerah

En. Azman bin Mohd. Aris dan En. Adli bin Ibrahim (PKG Kampong Soeharto), Pn. Semariati bt. Kiman dan Pn. Norul Huda bt.Mat Zaki (PKG Kuala Kubu Bharu) Pn. Khairul Faridah bt. Hasan dan En. Mohd Nazzary bin Shamsuddin (PKG Kalumpang) serta En. Mohamad Yusof bin Abdul Aziz, En. Mohammadiah Iskandar dan Pn. Ruzana bt.Tukimon (PKG Sungai Choh).

Mesyuarat Pengurusan Pusat Akses Daerah Hulu Selangor

Mesyuarat berkenaan telah diadakan di SMK Syed Mashor, Batang Kali pada 03 April 2007 jam 9.00 pagi. Pengetua,Guru Besar dan Penyelaras ICT sekolah yang terlibat dengan projek Pusat Akses Fasa 1, 2 dan 3 telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat ini.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Penyelia Pembangunan PPDHS, Tuan Haji Anuar bin Mahad. Turut hadir ialah PTP PKG Kg. Soeharto dan PTP PKG Sg. Choh, En. Rozali Mazlan, KUTV dan Pn. Yusma, Penyelia Unit ICT PPDHS juga hadir.

Mesyuarat dimulakan dengan penerangan keseluruhan oleh pengerusi mesyuarat. Seterusnya, En. Abd. Wahi, PTP PKG Kalumpang telah menyampaikan taklimat berkenaan Panduan Pelaksanaan Pusat Akses Sekolah. Selepas itu, En. Shamsul Azrin, wakil SJA Trade & Services kontraktor pembekal dan pemasangan peralatan menyampaikan maklumat. Sebelum berakhir mesyuarat, sesi soal jawab telah diadakan.

Antara kandungan taklimat yang telah diberikan ialah :

  • Apa itu Pusat Akses
  • Matlamat
  • Objektif
  • Pengurusan dan Pentadbiran
  • Susun atur dan Peralatan
  • Waktu Operasi
  • Pengguna
  • Cadangan Aktiviti
  • Keselamatan
  • Cadangan Peraturan
  • Spesifikasi kerja dan peralatan
  • Pengurusan Penyenggaraan

Pelbagai perkara dibangkitkan semasa sesi soal jawab. Antaranya ialah :

  • Anggaran Belanjawan - hantar ke PPDHS
  • Sumber kewangan - bahan habis guna
  • Yuran kepada murid - tidak boleh
  • Pembekalan fizikal Pusat Akses
  • Tempoh enghantaran peralatan
  • Tempoh kerja oleh pihak kontraktor
  • Penyerahan dan Sijil Siap Pasang

Semua sekolah telah pun diedarkan dengan buku Panduan Pelaksanaan Pusat Akses (biru). Pihak PPD juga telah membuat fotokopi dan mengedarkan kepada semua sekolah. Softcopy di dalam bentuk MS Word juga boleh diperoleh daripada PTP PKG dan En. Rozali Mazlan.

Mesyuarat berakhir pada jam 12.30 tengahari. Objektif mesyuarat telah tercapai dan pihak sekolah yang sebelum ini tertanya-tanya tentang Pusat Akses telah mendapat pun jawapannya. Harapan kami ialah Pusat Akses ini dapat digunakan sepenuhnya dan akan memberi manfaat kepada semua warga sekolah terutamanya murid-murid.

Thursday, April 5, 2007

Alamat e-mail PKG di daerah Hulu Selangor

Kemudahan e-mail merupakan satu kemestian pada masa kini. Kami di PKG juga telah menggunakan e-mail terbaru yang disandarkan kepada enjin Yahoo. Walau bagaimana pun, e-mail tm.net.my yang telah digunakan semenjak tahun 1998 masih berfungsi. Memandangkan akses kepada akaun lama kadang-kadang mengalami masalah, maka e-mail baru ini diwujudkan.

PKG Kalumpang - pkg_kalumpang@yahoo.com
PKG Kuala Kubu Bharu - pkg_kualakububharu@yahoo.com
PKG Kg.Soeharto - pkg_kgsoeharto@yahoo.com
PKG Sg.Choh - pkg_sgchoh@yahoo.com


Para pengguna dan pelanggan PKG bolehlah menghantar e-mail ke alamat di atas sekiranya ingin berhubung dengan kami.

Abd. Wahi bin Wahid.

Key Performance Indicator On-line

Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengamanahkan kepada pihak BTP bagi mengendalikan data KPI Online. Semua sekolah di negeri Selangor diminta memasukkan data di dalam borang soalselidik secara online melalui alamat URL berikut :
http: // 202.188.6.75/kpi

Tujuan KPI ini adalah untuk memberi klasifikasi prestasi pencapaian berdasarkan maklumbalas warga setiap sekolah berkenaan. Responden terdiri daripada Pentadbir, Guru Perpustakaan & Media, Guru ICT, Guru Biasa dan murid. Pegawai Pusat Kegiatan Guru di daerah masing-masing akan memantau proses kemasukan data.
Di sekolah, sila gunakan katapengguna dan katalaluan berikut :

1) PENTADBIR

User : PENTADBIR
Password : PENTADBIR123
1 orang pentadbir bagi setiap sekolah (Pengetua, Guru Besar atau GP Kanan)

2) GURU PERPUSTAKAAN & MEDIA

User : GPM
Password : GPM123
1 orang GPM bagi setiap sekolah

3) GURU

User : GURU
Password : GURU123
20 orang guru biasa bagi setiap sekolah (Bagi sekolah kecil, semua guru terlibat)

4) MURID

User : MURID Password : MURID123
Sekolah Rendah : 5 orang murid @ bagi setiap Tahun (Tahun 1-6) = 30 orang Sekolah Menengah : 5 orang murid @ bagi setiap Tingkatan (Tk. 1-5) = 25 orang

5) GURU ICT

User : ITC
Password : ITC123
1 orang Guru ICT bagi setiap sekolah


CARA MEMBUKA BORANG KPI ON-LINE

1. Taipkan URL yang diberi -
http: // 202.188.6.75/kpi
2. Tekan ENTER
3. Klik pada perkataan MASUK
4. Taipkan username mengikut kategori
5. Taipkan password yang berkaitan
6. Tekan LOGIN
7. Bila dah dapat buka borang, apa lagi, isilah borang tu.
8. Bila dah selesai, jangan lupa klik button “HANTAR”.

Sunday, March 25, 2007

Projek Oracle Think.com

1. PENGENALAN

Projek ini merupakan Program Rintis Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Projek ini telah pun dilaksanakan di 88 buah sekolah Bestari Perdana bermula pada bulan Ogos 2006. Bermula bulan Februari 2007, ia diperluaskan ke 734 buah sekolah lagi di seluruh Malaysia. Pelancaran akan dilakukan pada bulan April 2007.

Oracle Education Foundation (OEF) merupakan sebuah badan bebas politik dan tidak mengaut keuntungan. Melalui badan ini, pelajar digalakkan mengikuti pembelajaran secara kolaboratif melalui dua teknologi pendidikan iaitu Think.com dan ThinkQuest.

Think.com membuka ruang kepada murid dan guru mencetuskan idea kreatif dan inovatif melalui projek yang dijana dan diaplikasikan untuk digunapakai. Mereka boleh bertukar-tukar idea dengan peserta dari 734 sekolah di negara ini serta 48 negara lain yang turut sama menyertai Projek Oracle Think.Com ini. Sehingga kini, terdapat sebanyak 5,500 laman web pendidikan berada di dalam Resource Library Think.com. Laman web ini pula meliputi lapan jenis bahasa di dunia berdasarkan kepada Negara yang menyertai projek Think.com.

ThinkQuest pula membolehkan sekolah mencungkil bakat dan kreativiti murid untuk membina laman web pendidikan seterusnya menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh OEF.

2. RASIONAL

2.1 Kemajuan drastik bidang pendidikan terutamanya teknologi maklumat memerlukan sokongan padu perisian pendidikan samada secara tradisional mahupun moden.

2.2 Penggunaan laman web interaktif merupakan salah satu kemudahan bagi para guru dan pelajar di dalam meluaskan skop penggunaan bahan bantu mengajar.

2.3 Pembekalan Pusat Akses Sekolah dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

3. OBJEKTIF

3.1 Memberi ruang kepada guru dan pelajar bertukar-tukar idea dan pendapat di arena tempatan dan global.

3.2 Membina laman web interaktif pendidikan menerusi Think.com.

3.3 Membina rangkaian pendidikan global yang dapat memanfaatkan guru, diri pelajar dan sekolah.


4. JADUAL PELAKSANAAN PROJEK

11-14.02.2007 - Kursus Oracle Think.com untuk PTP PKG

21-22.03.2007 - Kursus Oracle Think.com untuk sekolah angkat

23-26.03.2007 - Pendaftaran Guru dan Murid di sekolah angkat

27.03-05.04.2007 - Pembinaan Laman Web di sekolah

06-13.04.2007 - Merancang dan laksana satu Projek ("online" dalaman)

14-27.04.2007 - Merancang dan laksana satu Projek ("online" global)

30.04.2007 - Guru dan murid boleh menggunakan Think.com

01.05.2007 - Menghantar Laporan Pelaksanaan ke BTP


5. STRATEGI PELAKSANAAN PROJEK

5.1 PKG memilih 2 buah sekolah anak angkat.

5.2 PTP PKG diberi kursus mengikut zon di PSPN Negeri Sembilan.

5.3 Sekolah angkat memilih 2 – 10 orang guru untuk memantau murid.

5.4 Sekolah memilih 20 orang murid bagi menjayakan projek.

5.5 Guru Administrator dan Pembantu Administrator diberi kursus.

5.6 Projek dijalankan di sekolah di bawah pemantauan PTP PKG berkenaan.

6. SENARAI SEKOLAH ANAK ANGKAT

Bil

PKG

Nama Sekolah

Nama Administrator

1

Kg. Soeharto

SK Kg. Soeharto

Pn. Yuhaila bt. Mat Yusop

2

SMK Kg. Soeharto

En. Kumaresen a/l Kawagasabai

3

Kalumpang

SK Kalumpang

En. Mohamad Zahril bin Jaapar

4

SMK Kalumpang

En. Saifuddin bin Abd. Aziz

5

Kuala Kubu Bharu

SK Kuala Kubu Bharu 1

En. Mohd. Wari bin Lobe

6

SMK Ampang Pecah

Pn. Saemah bt. Md. Sahir

7

Sungai Choh

SK Sungai Choh

Pn. Normawati bt. Abd. Rahman

8

SMK Sungai Choh

Pn. Dalimasari bt. Ali Ahmad

Berdasarkan kepada perancangan yang telah dibuat, pada 21 & 22 Mac 2007, PKG di daerah Hulu Selangor telah pun melaksanakan Kursus Pengurusan dan Pengendalian Projek ini kepada 2 orang guru Administrator bertempat di PKG Kalumpang.

Penceramah dan fasilitator yang terlibat ialah :

1. En. Abd. Wahi bin Wahid

2. En. Mohamad Yusof bin Abdul Aziz

3. Pn. Semariati bt. Kiman

Semoga projek ini akan dapat berjalan dengan lancar dan memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pusat Akses Sekolah

Pusat Akses Sekolah mengamalkan konsep ala "cyber cafe" tetapi lebih menjurus kepada pembelajaran. Ia merupakan satu ruang pembelajaran yang disediakan bagi membolehkan murid membuat pembelajaran kendiri (self learning), Murid boleh mencari dan memilih sumber pembelajaran secara sendiri mengikut kadar kendiri, terarah kendiri dan akses kendiri,


Ia merupakan satu bentuk sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran, serta membolehkan warga sekolah khasnya murid mendapatkan maklumat dan berkomunikasi melalui penggunaan teknologi maklumat. Proses pembelajaran di Pusat Akses Sekolah boleh berlaku pada bila-bila masa. Murid boleh menggunakan kemudahan yang disediakan ini pada waktu terluang mereka dan guru bertindak sebagai pemudah cara dengan membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

Pusat Akses Sekolah memenuhi gaya pembelajaran murid yang pelbagai dan mempertingkatkan mutu pendidikan ke arah pembentukan masyarakat celik maklumat dan berdaya maju menerusi pendidikan sepanjang hayat.