Wednesday, December 9, 2009

SMK Ampang Pecah @ Berita Harian

SMK Ampang Pecah sekolah bestari luar bandar lima bintang

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor, bukan saja terpilih antara 15 sekolah bestari luar bandar penanda aras, malah turut dijadikan showcase bagi projek itu.

Pengetuanya, Hamidah Saman, berkata antara faktor sekolah itu dijadikan rujukan di kalangan sekolah bestari perintis luar bandar adalah kerana kejayaannya mengintegrasi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata, dengan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ICT dibekalkan Kementerian Pelajaran dan bimbingan pegawai Multimedia Development Corporation (MDeC), pembudayaan menyeluruh teknologi itu dilaksanakan dalam tiga aspek, iaitu pengajaran dan pembelajaran (P&P), pentadbiran serta kepelbagaian penggunaannya di kalangan pelajar.

“Setelah mendapat pengiktirafan empat bintang menerusi Standard Kelayakan Sekolah Bestari tahun lalu, kami diberi kepercayaan menjadi salah satu sekolah bestari luar bandar penanda aras dan kini mencapai penarafan lima bintang.

“Komitmen tinggi guru penyelaras bestari, Saemah Mat Tahir dan kerjasama padu seluruh warga sekolah termasuk pentadbir, guru dan pelajar, membolehkan kami terus meningkatkan usaha pembudayaan ICT agar dapat memainkan peranan sebagai sekolah bestari luar bandar penanda aras dan showcase sebaiknya.

“Selain menerima kunjungan kementerian, jabatan pelajaran negeri dan sekolah, baru-baru ini rombongan Universiti Al-Iman Muhammad Ibn Sud Islamic, Arab Saudi melawat sekolah kami dan tertarik dengan pengajaran tilawah al-Quran secara interaktif menggunakan I-Kit,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara itu, Saemah berkata, aktiviti pembangunan modal insan dan memperbanyakkan inisiatif kendiri antara strategi utama bagi membudayakan integrasi ICT dalam segenap aspek operasi sekolah sejajar dengan statusnya.

Untuk tujuan itu, katanya, Briged Bestari dianggotai 30 pelajar Tingkatan Satu hingga Empat ditubuhkan sebagai pasukan khas membantu warga sekolah termasuk guru memanfaatkan ICT dalam P&P.

Katanya, pelbagai bengkel diadakan bagi mendedahkan anggota Briged Bestari dengan teknologi terkini digunakan dalam P&P yang boleh dimanfaat di sekolah terutama bagi melaksanakan projek atau tugasan diberikan.

“Selain membimbing rakan sebaya dalam penggunaan ICT, anggota Briged Bestari turut membantu menyediakan blog bagi setiap panitia mata pelajaran serta membantu guru menghasilkan bahan aplikasi P&P.

“Antara perkara ditekankan kepada pelajar ialah mempelbagaikan kegunaan komputer dan internet bukan untuk mengakses laman sosial dan permainan saja, malah memanfaatkan perisian seperti Oracle Think Quest untuk menyiap dan menghantar tugasan mereka secara online,” katanya.

Saemah berkata, integrasi ICT dalam P&P juga memudahkan guru sekolah itu mengendalikan kelas dan menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menarik.

Beliau memberi contoh, bagi pengajaran Seni Lukis menggunakan Interactive White Board, pelajar diajar menggunakan program asas Paint bagi menghasilkan lukisan sebelum diperkenal kepada perisian lanjutan seperti Photoshop dan Illustrator yang membolehkan mereka membuat rekaan kulit majalah sekolah dan t-shirt persatuan.

“Peralatan dibekalkan kementerian adalah Interactive White Board, I-Kit, perisian P&P Learning Management System dan komputer.

“Bagi memastikan peralatan ini dimanfaatkan sepenuhnya, sekolah khususnya guru penyelaras bestari perlu melakukan inisiatif tambahan seperti sentiasa memperkenalkan perisian terkini di pasaran serta mewujudkan laman sosial tertentu seperti google group untuk memudahkan interaksi guru dan pelajar secara online,” katanya.

TAHNIAH DARIPADA KAMI PIHAK PKG KALUMPANG (tumpang sekaki)

1 comment:

GPB SMKAP said...

terima kasih atas sokongan