Tuesday, December 8, 2009

Membaca dalam tren dilancar

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Program Membaca 1Malaysia dilancarkan hari ini bagi meningkatkan amalan membaca di dalam pengangkutan awam khususnya kereta api di kalangan rakyat Malaysia.

Bertemakan Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan Bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), program tersebut menjadikan semua gerabak KTMB dilengkapi dengan sudut bacaan.

Sudut bacaan tersebut berupa rak besi yang memuatkan sekurang-kurangnya 50 bahan bacaan ringan termasuk majalah dan buku cerita dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie di dalam tren khas ke Ipoh hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan, beliau berkata, statistik Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menunjukkan Malaysia menduduki tangga kedua terakhir dalam senarai celik huruf negara ASEAN dan Asia Pasifik.

''Malaysia menduduki tangga ke-11 daripada sejumlah 12 negara yang disenaraikan dengan Vietnam berada pada tangga terakhir.

''Australia, Jepun, Korea dan New Zealand menduduki empat tangga pertama dengan 99 peratus kadar celik huruf. Malah Indonesia juga mendahului Malaysia dengan kadar celik huruf sebanyak 92 peratus berbanding Malaysia iaitu 91.9 peratus,'' katanya.

Tambah Seai Kie, kadar celik huruf sesebuah negara mempunyai kaitan dengan tahap kemajuan negara tersebut.

''Justeru saya berharap Program Membaca 1Malaysia akan dapat memupuk tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia sekali gus meningkatkan peratus celik huruf negara,'' katanya.

Seai Kie menambah, beliau percaya program berkenaan akan mendapat sambutan yang baik daripada penumpang KTMB.

Program Membaca 1Malaysia adalah anjuran KTMB dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan Utusan Melayu (M) Berhad dan Kumpulan Karangkraf sebagai penyumbang bahan bacaan.

Rak buku bagi sudut bacaan dalam gerabak kereta api pula adalah sumbangan Nagasteel Equipment Sdn. Bhd.

Selain sudut bacaan dalam gerabak KTMB, satu bank buku turut dilancarkan di Stesen Sentral bagi memudahkan orang ramai menderma bahan bacaan terpakai untuk diletakkan di sudut bacaan dalam kereta api.

Jelas Seai Kie, bagaimanapun, setiap bahan bacaan yang didermakan akan dinilai kesesuaiannya sebelum diletakkan di sudut bacaan setiap tren.

Sempena pelancaran program Membaca 1Malaysia hari ini juga, sekumpulan kanak-kanak dan wakil media turut dibawa menaiki kereta api shuttle ke Ipoh bagi menyaksikan sendiri pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang perjalanan hari ini.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah membaca bersama, mendengar cerita, menyanyi, mewarna, melukis dan menghasilkan kraf tangan.

Oleh ROHANI IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

No comments: