Monday, November 30, 2009

Perhimpunan Bulanan BTPN Selangor November-Disember

Perhimpunan Bulanan BTPN Selangor kali ke 6 bagi tahun ini telah dilaksanakan pada 16 November 2009 di bilik Merpati, BTPN Selangor. Majlis pada kali ini telah menggabungkan urusetia yang terdiri dari Unit Media, Promosi dan Inovasi, Unit Hal Ehwal PKG dan PKG daerah Hulu Selangor . Tema dipilih ialah ’Hitam Putih Kehidupan’.

Majlis dimulakan oleh nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Selangor diikuti dengan bacaan doa. Bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam pula telah diketuai oleh En. Mohd. Amin, Juruteknik Komputer PKG Kalumpang.

Majlis seterusnya telah mendengar ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Perhimpunan Bulanan iaitu Pn. Rusita Sahari yang merupakan Ketua Unit Media, Promosi dan Inovasi. Beliau telah menjelaskan mengenai maksud tema ’Hitam Putih Kehidupan’ yang nampak ringkas tetapi mengandungi makna yang amat mendalam di dalam kerjaya dan keluarga seseorang kakitangan awam.

Kemudian, Tn. Haji Ahmad Dahlan bin Kardi, KPP BTPN Selangor telah menyampaikan ucapan, amanat dan pesanan seterusnya menyempurnakan sesi penyampaian cenderamata. Pada kali ini seramai 8 orang menerima cenderamata hari lahir November dan 12 orang lagi bagi bulan Disember. Majlis juga telah menyampaikan cenderamata ’Pengantin Baru’ kepada En. Sharifuddin Bakhtiar Juruteknik J17.

Perhimpunan kali ini juga telah menyelitkan Taklimat Kampus ASTRO yang disampaikan oleh Dr. Suhaimi Kadir, Pn. Aini Suraya dan En. Zulkarnain daripada ASTRO.

Majlis telah diakhiri dengan nyanyian lagu Satu Malaysia. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga dititipkan kepada semua AJK yang telah menjayakan majlis ini.

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat menunaikan ibadah korban... semoga ibadah ini dapat mendekatkan lagi diri kita dengan Allah S.W.T. dan dikurniakan pahala yang tidak terhingga nilainya.

Doa dipanjatkan buat ahli keluarga, rakan-rakan, saudara-mara dan seluruh umat Islam yang sedang mengerjakan haji di tanah suci... semoga mendapat haji yang mabrur dan selamat pergi dan balik.

Macam-macam mesej yang kita dapat daripada kawan-kawan, itulah maknanya bila teknologi ICT dah semakin canggih sekarang ni.

Bengkel Buletin Inspirasi.com

Bengkel telah diadakan pada 23 hingga 25 November 2009 di BTPN Selangor. Seramai 12 orang ahli telah hadir, 4 orang daripada Unit PSP serta 8 orang wakil PKG setiap daerah. Daerah Hulu Selangor diwakili oleh En. Abd. Wahi.

Sebanyak 3 berita dari PKG Kalumpang dan 3 berita berkaitan daerah telah dibahas dan diedit oleh ahli editor. Semuanya terdapat lebih kurang 50 berita akan diterbitkan untuk Inspirasi.com Bil 2/2009.

Monday, November 23, 2009

Mesyuarat PKG Daerah Hulu Selangor

Telah diadakan pada 19 November yang lepas di PKG Sungai Choh. Seramai 10 orang ahli PKG telah hadir. Mesyuarat dipengerusikan oleh En. Abd. Wahi bin Wahid, selaku Ketua PKG Daerah Hulu Selangor.
Mesyuarat bermula jam 9.30 pagi dan ditangguhkan pada jam 2.00 petang.

Wednesday, November 18, 2009

Aktiviti Pertengahan November

Nampaknya seperti biasa juga, bila dekat-dekat nak cuti sekolah ni banyaklah program yang diadakan. Tak sempat nak update blog. Ada juga program di sekolah dan masyarakat setempat yang terpaksa diketepikan kerana terdapatnya komitmen lain.

Pada hari Sabtu, bertugas di PKG kerana ada pengguna iaitu 2 kumpulan Pemeriksa Kertas PMR iaitu Matematik dan Pendidikan Islam. Kemudian hari Ahad, ada Mini Konvokesyen Tabika KEMAS Kerling (En. Abd. Wahi merupakan Pengerusi Tabika). Sebelah petangnya bertolak pula ke BTPN Selangor kerana membuat persiapan Perhimpunan Bulanan (Nov & Dis) BTPN Selangor. PKG Daerah Hulu Selangor jadi tuan rumah bersama Unit Media, Promosi dan Inovasi serta Unit Hal Ehwal PKG.

Pagi Isnin (16 Nov.) bermulanya Perhimpunan Bulanan dan diselitkan dengan Taklimat Kampus ASTRO yang berakhir pada jam 12.30 tengahari. Kemudian di sebelah petangnya menghadiri Mesyuarat Penyelarasan BTPN/PKG Bil. 05/2009.

Hari Selasa pula sehari suntuk di SMK Kalumpang mengadakan Khidmat Bantu ICT dan PSS. Hari Rabu barulah free sedikit, tapi kena jaga PKG pula kerana tinggal seorang sahaja.

Saturday, November 14, 2009

Guru punca pelajar bosan (BENARKAH?)

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Sikap guru yang membosankan dan tidak tahu menggunakan pendekatan psikologi bagi menarik perhatian pelajar menjadi punca kepada kegiatan ponteng sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, situasi itu terjadi disebabkan ada antara guru tidak ikhlas melakukan pekerjaan itu.

Menurutnya, segelintir guru ini tidak berminat menjadi guru namun ekoran ketiadaan pilihan lain, mereka terpaksa menerima pekerjaan berkenaan.

''Apabila tiada minat, mereka ini sekadar melepaskan syarat sahaja mengajar murid-murid di sekolah tanpa ada sebarang kesungguhan dan komunikasi dua hala.

''Inilah punca sebenarnya membuatkan pelajar berasa bosan berada dalam kelas,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai 178 murid ditahan di kafe siber dalam Operasi Ponteng Ayuh Ke Sekolah! di sekitar Sri Rampai, Keramat dan Wangsa Maju di sini kelmarin.

Salah seorang murid terbabit memberitahu, dia bertindak demikian kerana bosan berada dalam kelas.

Hashim menegaskan, kumpulan guru seperti ini perlu mengubah sikap dan memperbaiki diri bagi memikat pelajar untuk datang ke sekolah.

''Jangan kerana tidak ada minat maka pelajar-pelajar ini menjadi mangsa pemberontakan mereka.

''Cara ini salah, mereka perlu mencari jalan agar pelajar-pelajar ini mempunyai minat untuk belajar selain bantuan yang diberikan oleh ibu bapa,'' katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, pula berpendapat, kegiatan ponteng sekolah berlaku kerana tiada aktiviti dianjurkan oleh pihak sekolah pada penghujung akhir tahun.

''Guru pada masa ini sibuk kerana terpaksa memeriksa kertas peperiksaan akhir tahun di samping penyeliaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,'' katanya.

Beliau berkata, waktu senggang pelajar pada masa ini amat sesuai diisi dengan program bermanfaat seperti kegiatan sukan, kelas kemahiran teknologi maklumat (IT) dan aktiviti perkhemahan.

''Maka saya menyeru Kementerian Pelajaran supaya dapat memikirkan sesuatu bagi mengatasi masalah ini.

''Banyak perkara dapat dilakukan oleh pelajar-pelajar ini daripada membuang masa tidak berbuat apa-apa di sekolah,'' katanya.

Wednesday, November 11, 2009

Pemantauan ISO Khidmat Bantu PSS

Hari ini, En. Abd. Wahi telah mengiringi Ust. Zainuddin Kasman, PTP Unit PSP BTPN Selangor membuat pemantauan Khidmat Bantu PSS. Lawatan ini merupakan pemantauan khas untuk melengkapkan prosedur ISO setelah khidmat bantu PSS BTPN Selangor selesai dijalankan pada 20-24 Julai yang lalu.

Pemantauan bermula di SK Kerling pada jam 8.25 pagi sehingga jam 10.30 pagi, seterusnya bergerak ke SK Sungai Selisek pada jam 11.00 pagi hingga 1.30 tengahari.

Tuesday, November 10, 2009

Bengkel Penilaian Prestasi Pegawai/Staf

Pada tahun ini, cara untuk membuat penilaian prestasi pegawai dan staf PKG telah diubahsuai bagi tujuan memantapkan pengisian Borang Prestasi (LPNT), penilaian yang lebih telus dan mengurangkan perasaan tidak puas hati beberapa pihak.

Bengkel berkenaan diadakan sepanjang minggu ini di BTPN Selangor. Semua PT dan FT akan dinilai oleh PTP1 (PPK) dan PTP2 (PPP), PTP2 pula akan dinilai oleh PTP1 PKG (PPP) dan PTP DGA34 Unit PKG (PPK). Namun begitu, bagi PKG yang tiada pegawai PTP1 atau PTP2... penilaian prestasi akan dilakukan oleh PTP DGA34 (PPP) dan Ketua Unit PKG (PPK).

PKG daerah Hulu Selangor telah pun dinilai pada petang Isnin (9.11.2009). Bagi pegawai dan staf PKG Kalumpang, En. Mohd. Amin (FT) dinilai oleh Pn. Khairul Faridah (PPP) dan En. Abd. Wahi (PPK). Pn. Khairul Faridah dinilai oleh En. Abd. Wahi (PPP) dan En. Abd. Rahman (PTP DGA34-PPP), manakala En. Abd. Wahi pula telah dinilai oleh En. Abd. Rahman (PTP DGA34-PPP) dan Pn. Zariah (KU PKG-PPK). Tiga orang sajalah sebab PT masih belum ada pengganti lagi.

Satu Malaysia

Berdiri teguh di bumi nyata
Untuk Semangat Satu Malaysia
Sepakat Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan

Perpaduan Merapat-rapat
Toleransi kaum amalan bersama
Kejayaan kita bangunkan Satu Malaysia

Dalam capai satu tujuan
Tanggungjawab kita semua
Jadi teras bangsa mulia
Kita bina satu Malaysia

Korus

Satu Malaysia jadi pegangan
Rukun Negara teras panduan

Satu Malaysia benteng negara
Rakyat Malaysia taat setia

Ulang Korus 2x

Satu Malaysia untuk semua

http://kebudayaan.kpkk.gov.my/gallery/audio/19/23/?audio=208

Sunday, November 8, 2009

PNM, KTMB lancar program membaca dalam keretapi

KUALA LUMPUR 8 Nov. — Pelbagai inisiatif dilakukan pelbagai pihak dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk membudayakan amalan membaca di kalangan masyarakat di Malaysia.

Terbaru, program Membaca 1Malaysia yang dinamakan ”Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan” anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dilaksanakan bagi menggalakkan penumpang keretapi menyemai sikap minat membaca walaupun semasa menggunakan pengangkutan itu.

Program yang turut mendapat kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu pada pra pelancarannya hari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada penumpang keretapi dari Stesen Kuala Lumpur ke Gemas, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar berkata dengan bilangan pengguna KTMB menjangkau 10,400 orang setiap hari, program seperti itu dilihat sesuai dan efektif dalam menggalakkan penumpang membaca sebagai mengisi masa terluang.

"PNM menyediakan bahan bacaan atau Bank Buku di mana orang ramai digalak menderma buku untuk dijadikan bahan bacaan kepada penumpang keretapi,” katanya sebelum bermulanya perjalanan ke Gemas di Stesem KL Sentral sini, hari ini. - Bernama

Thursday, November 5, 2009

Pertandingan Jejak Maklumat PKG

Sempena Kem Membaca 1 Malaysia, PKG Kalumpang telah menjalin kerjasama dengan PSS SK Hulu Bernam untuk menganjurkan Pertandingan Jejak Maklumat peringkat PKG Kalumpang. Aktiviti ini telah dilaksanakan pada 04 November 2009 di sekitar kawasan SK Hulu Bernam.

Seramai 50 orang murid daripada 10 buah sekolah rendah telah menyertai aktiviti ini. Sekolah yang terlibat iaitu SK Hulu Bernam, SK Kalumpang, SK Kerling, SK Lembah Beringin, SJK (C) Kalumpang, SJK (C) Kerling, SJK (T) Ladang Kalumpang, SJK (T) Ladang Kerling, SJK (T) Ladang Changkat Asa dan SJK (T) Ladang Escot.

Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga dititipkan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan aktiviti ini. Sedikit sebanyak ia dapat menyerikan lagi aktiviti tahunan PKG Kalumpang.