Thursday, November 27, 2008

Bertemu lagi

Selamat bertemu semula... nampaknya agak lama juga saya tiada menulis apa-apa berita di laman ini. Selain daripada sibuk dengan kerja, banyak juga urusan luar seperti keluarga dan komuniti yang perlu diikuti dan dibereskan. Banyak juga tugasan luar (out-station) yang perlu dilayan... sama ada kursus, bengkel mahupun seminar.

Friday, September 12, 2008

Bengkel Ujilari Penghasilan SKT PKG

Mengikut perjanjian di awal tahun, semua bahan yang akan dihasilkan mengikut Fungsi 2 di dalam SKT 2008 PKG hendaklah dibentangkan untuk dinilai pada akhir tahunnya. Hasil daripada penilaian ini akan menentukan sejauhmana pencapaian prestasi PKG berkenaan di dalam Fungsi ini. Oleh itu, setiap apa yang telah dijanjikan... mestilah dikotakan.

Maka, pada 10 September (Rabu) tibalah giliran PKG Kalumpang untuk membentang bahan cetak dan bahan bukan cetak yang telah dihasilkan. Sepatutnya... dua bahan mesti dibentangkan tetapi memandangkan hanya satu bahan sahaja yang telah siap, maka En. Abd. Wahi hanya membentangkan bahan cetak iaitu Carta P&P PJK Tahun 5 - Sofbol.

Terima kasih kepada para penilai yang diketuai oleh Pn. Rusita (KU Media) dan dibantu oleh Pn. Hjh. CT Amarah (PTP Media) En. Zainal (PTP Media) Pn. Hjh. Rokiah (PTP Unit PKG) dan En. Rahman (PTP Unit PKG). Segala komen dan nasihat bagi penambahbaikan bahan akan dibuat kerana Semakan SKT Akhir Tahun ialah pada bulan November.

Penilaian Anugerah Kecemerlangan PKG

Pada 4 September yang lalu... PKG Kalumpang dengan penuh keceriaannya telah menyambut kehadiran 3 orang Panel Penilai dari BTPN Selangor. Lenggang lenggok serta senyuman manis lemparan Pn. Nik Asma (KU PSP/PKG), Pn. Rusita (KU Media) dan Pn. Hjh. Rokiah (PTP Unit PKG) tidak berjaya mengurangkan debaran di hati kami.

Semua aspek telah dinilai... sebabnya pada tahun ini tiada kategori seperti tahun-tahun lepas. Yang ada cuma satu sahaja iaitu PKG Terbaik Keseluruhan. Bagi pihak kami pula, sedaya upaya mencuba untuk memenuhi setiap apa yang dikehendaki mengikut instrumen berkenaan.

Tahniah dan terima kasih kepada yang sudi hadir ke PKG kami.

Monday, July 28, 2008

Kem NILAM daerah Hulu Selangor

Kem telah selamat diadakan pada 22-24 Julai 2008 yang lalu. Kem NILAM tahun ini telah disertai oleh seramai 44 orang murid dari daerah Hulu Selangor. En. Abd. Wahi telah bertindak selaku Naib Pengerusi JK Pelaksana. Kem ini dianjurkan oleh PPD Hulu Selangor dengan kerjasama PKG daerah ini.

Berbagai acara telah dijalankan termasuklah Penilaian Tokoh NILAM, Anatomi Buku, Motivasi Membaca bersama Siti Aisyah Razali (Tokoh NILAM Kebangsaan 2008), Motivasi Membaca PPD oleh En. Mohd. Hasren Damiri (Penyelia KBSR), Rakan Pembaca dan Literasi Maklumat. Pada hari terakhir diadakan pula Pertandingan Jejak Maklumat yang melibatkan semua peserta.

Majlis Perasmian Penutupan kem telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Suhaimi bin Rashid, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Selangor pada jam 3.40 petang hari Khamis (24 Julai 2008).

Thursday, June 19, 2008

Pertandingan Marhaban Berzanji dan Kompang Selawat

Program di atas telah diadakan pada 13-14 Jun 2008 di Kem Bina Semangat, Ampang Pecah. Pertandingan ini merupakan pertandingan yang pertama kali dianjurkan di peringkat negeri Selangor. Seramai 224 orang peserta telah membanjiri Kem Bina Semangat ini bagi mewakili sebanyak 10 daerah di negeri Selangor.

Pihak PKG telah diamanahkan sebagai pendokong Jawatankuasa Dokumentasi, Fotografi dan Rakaman. En. Abd. Wahi telah dibantu oleh Tn. Haji Muhammadiah Iskandar (PKG Sg. Choh) dan En. Mohd. Khoiri (SK Hulu Bernam). Tak ramai yang dapat memberikan khidmat bantu kerana terlibat dengan komitmen lain.

Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Tn. Haji Ariffin bin Mohd. Amin (Ketua Sektor Pengurusan Islam dan Moral JPNSDE. Beliau telah melahirkan rasa bangga dan berpuas hati dengan penganjuran program ini. Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis ini.

Tuesday, June 17, 2008

Bengkel Pemurnian SKT 2008

Program ini telah selamat diadakan pada 9-13 Jun yang lalu di Hillcity Hotel, Ipoh. Semua Ketua PKG negeri Selangor telah menghadiri bengkel ini di samping beberapa orang wakil dari setiap unit di BTPN Selangor. PKG Kalumpang diwakili oleh En. Abd. Wahi Wahid.

Setiap PKG telah melaporkan pencapaian SKT masing-masing. Pembentangan pula dilakukan mengikut daerah dan Ketua Daerah melaporkan secara pencapaian keseluruhan PKG daerah berkenaan. Setiap PKG telah diberi 'rating' berdasarkan kepada pencapaian bagi Fungsi 1, 2 dan 4.

Tahniah kepada PKG daerah Hulu Selangor (Kg. Soeharto, Kalumpang, KKB dan Sg. Choh) kerana semuanya mendapat 5 bintang.

Thursday, June 5, 2008

Mesyuarat JK Pertandingan Kompang Selawat dan Berzanji Peringkat Negeri Selangor

Mesyuarat di atas telah diadakan pada pagi 04 Jun yang lalu. En. Abd. Wahi telah menghadiri mesyuarat ini yang diadakan di Kem Bina Semangat, Ampang Pecah.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Tn. Hj. Saibuddin, Ketua Unit SPIM, JPN Selangor. Tuan PPD Hulu Selangor juga turut hadir. Program yang pertama kali dianjurkan ini akan diadakan pada 13-14 Jun yang akan datang di tempat yang sama.

Mesyuarat telah membincangkan bidang tugas dan mendengar laporan setiap jawatankuasa yang terlibat. Pihak PKG telah diamanahkan dengan tugasan Dokumentasi, Fotografi dan Rakaman.

Pasukan yang mengambil bahagian dalam Kompang Selawat akan disertai oleh seramai 12-15 peserta manakala pasukan berzanji seramai 9 orang peserta. Dijangka seramai 240 orang peserta akan membanjiri Kem Bina Semangat ini.

Tuesday, May 20, 2008

Mesyuarat Pemilihan Buku RMK9

En. Abd. Wahi telah menghadiri mesyuarat berkenaan yang diadakan pada 13-16 Mei 2008 di BTPN Ipoh. Mesyuarat ini merupakan anjuran BTP, Bukit Kiara dihadiri oleh seramai 16 orang peserta.

Kursus Konfigurasi Rangkaian Daerah Hulu Selangor

Kursus telah diadakan pada 12hb. Mei 2008 di PKG Kalumpang. Peserta yang hadir seramai 12 orang iaitu 6 orang PTP PKG, 4 orang Juruteknik dan 2 orang guru ICT. Dah lama rancang, dah 2 kali tertangguh, akhirnya jadi juga. Penceramahnya ialah En. Khairie Sharip dan En. Mohd. Noor Leza Hj. Mansur dari BTPN Selangor.

Bermula jam 9.00 pagi mendengar ceramah daripada En. Khairie sehingga jam 10.30 pagi. Lepas rehat (jam 11.00 pagi), peserta dan fasilitator dibawa ke SK Hulu Bernam untuk membuat praktikal. Server sekolah ni guna Windows Server 2000. Senanglah sikit. Terima kasih bebanyak kepada Guru Besar, En. Mohd. Akhwan dan Guru ICT, En. Mohd. Khoiri.

Jam 1.30 tengahari, balik semula ke PKG Kalumpang untuk makan dan sembahyang Zohor. Lepas sambung semula dengan input baru iaitu "setting wireless router" dan pengisian data website BTPN Selangor. Jam 4.30, tamatlah kursus. Sebelum bersurai, En. Abd. Wahi telah membawa fasilitator menjamu selera "Mee Bandung Udang Galah" di gerai Cikgu Yati.

Friday, May 9, 2008

Kursus Penulisan Laporan dan Kertas Cadangan

En. Abd. Wahi telah menghadiri Kursus Penulisan Laporan dan Kertas Cadangan di Hotel Seri Cempaka, Kuala Lumpur. Kursus anjuran BTPN Selangor ini telah diadakan pada 6 – 9 Mei 2008. Seramai 26 orang peserta telah menghadiri kursus ini. Peserta terdiri daripada staf BTPN Selangor, BTPN Perak dan BTPN Wilayah Peuan Kuala Lumpur.

Kursus dikendalikan oleh penceramah jemputan dari Smart Resources Sdn. Bhd. yang diketuai oleh En.
Azizi dan Tn. Hj. Jalaludin. Para peserta merasa sangat bertuah kerana mendapat pasukan pembimbing yang amat mantap dan mempunyai ilmu yang tinggi di dalam bidang ini. Peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan saya berada di dalam kumpulan 3. Terdapat seramai 6 orang peserta di dalam kumpulan ini.

Terima kasih kepada Pengurus Kursus En. Shahbudin Seli dan dibantu oleh Pn. Rozilah Ramli kerana berjaya menguruskan program ini dengan jayanya.

Khemah Membaca PKG Kalumpang 2008

Pada 2 dan 3 Mei 2008 bersamaan hari Jumaat dan Sabtu, PKG Kalumpang telah berjaya melaksanakan Khemah Membaca khas buat sekolah-sekolah ahli PKG. Seramai 53 orang murid telah menghadiri kem ini.

Ketua Fasilitator, Pn. Maziah Mohamed menyatakan bahawa peserta boleh menguasai kemahiran membaca namun agak sukar untuk mengeluarkan jawapan dan pendapat yang bernas semasa sesi Ujian Lisan.

Majlis penutupan Khemah Membaca telah disempurnakan oleh En. Abd. Wahi Wahid, Ketua PTP PKG Kalumpang. Di dalam ucapannya, beliau menggesa para peserta agar menguasai kemahiran membaca seterusnya kemahiran mempersembahkan apa yang telah dibaca.

Terima kasih diucapkan kepada semua fasilitator dan urusetia yang telah bertungkus lumus untuk memastikan agar program ini berjaya dilaksanakan.

Tuesday, April 29, 2008

Kursus Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia

En. Abd. Wahi juga telah menghadiri Kursus Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia di Hotel Coral Bay, Pangkor. Kursus anjuran BTPN Selangor ini telah diadakan pada 21 – 24 April 2008. Seramai 27 orang peserta telah menghadiri kursus ini. 9 orang staf BTPN Selangor manakala selebihnya merupakan PTP PKG.

Kursus dikendalikan oleh penceramah jemputan dari One Step Management Sdn. Bhd. yang diketuai oleh En. Jaafar Yahya, YM Engku Mohd. Azri dan En. Mohd. Nazri. Para peserta merasa sangat bertuah kerana mendapat pasukan pembimbing yang amat mantap dan mempunyai ilmu yang tinggi di dalam bidang ini. YM Engku Mohd. Azri juga telah menerangkan serba ringkas mengenai Rahman Self Therapy.

Peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan saya berada di dalam kumpulan KPM Aero Space. Buat minggu ke 2 berturut-turut menjadi ketua kumpulan yang dianggotai oleh seramai 6 peserta.

Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Tuan Hj. Ahmad Dahlan, Ketua Penolong Pengarah BTPN Selangor. Sebelum itu, En. Jaafar Yahya di dalam ucapannya telah memuji dan memberi penghargaan kepada para peserta kerana memberikan kerjasama dan komitmen di sepanjang masa kursus ini berjalan.

Terima kasih kepada Pengurus Kursus En. Shahbudin kerana berjaya menguruskan program ini dengan jayanya. Dapat pula peluang pergi snorkeling.

Kursus Bina Negara (Khas)

Pada 14 – 18 April yang lalu, En. Abd. Wahi telah menghadiri Kursus Bina Negara (Khas) di Kem Bumi Jati, Shah Alam. Kursus anjuran BTP, Bukit Kiara ini telah dihadiri oleh seramai 61 orang peserta. 9 orang peserta dari BTPN Selangor, 20 orang dari BTPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala selebihnya merupakan staf BTP, Bukit Kiara.

Selama 5 hari di Kem Bumi Jati telah memberikan pelbagai pengalaman suka duka, masam manis dan banyak juga ilmu yang dapat ditimba di sini. Pendaftaran bermula sejak jam 3.00 petang Isnin. Peserta diberi fail, name tag dan tempat penginapan berbentuk dorm. Setiap dorm pula dibahagikan kepada 3 bilik yang dilengkapi dengan katil 2 tingkat dan kipas angin. Teringat pula kenangan semasa tinggal di asrama SMK Kuala Kubu Bharu pada tahun 1980-1983 yang lalu. Makan malam disempurnakan pada pada jam 6.30 petang.

Sesi malam bermula dengan sembahyang Maghrib dan Isyak berjemaah. Kuliah maghrib telah disampaikan oleh Ketua Fasilitator. Sesi taklimat diadakan pada jam 9.30 malam. Para peserta lelaki segak berpakaian kemeja putih dan seluar hitam manakala peserta wanita nampak bergaya dengan baju kurung putih berkain hitam. Peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan dan saya berada di kumpulan 3 (B & W). Lepas tu dilantik pula sebagai Ketua Kumpulan.

Hari Selasa dipenuhi dengan 4 slot ceramah yang meliputi tajuk Ekonomi, Pendidikan, Sosial dan Kenegaraan. Hari Rabu dan Khamis pula diisi dengan slot Latihan Dinamika Kumpulan (LDK). Setiap kumpulan dikendalikan oleh seorang fasilitator tetap. Selama dua hari, pelbagai

Majlis Perasmian Penutupan Kursus telah disempurnakan oleh En. Mohd. Sanusi Sreetharan, Penolong Pengarah BTPN WPKL. Sebelum itu, Penghulu Kursus (En. Rossaidi Ngah) dan Ketua Fasilitator, En. Mohd. Fauzi telah memberikan ucapan. Para peserta telah mendapat pujian daripada Ketua Fasilitator kerana memberikan kerjasama dan komitmen di sepanjang masa kursus ini berjalan.

Terima kasih kepada semua jurulatih (Pak Mat, Pak Dol, Pak Mail, Pak Ya dan Ummi), fasilitator (En. Zainuddin, En. Maamor, En. Idris, Dr. Syed, En. Othman) dan Ketua Fasilitator yang bertugas.

Thursday, April 10, 2008

Belasungkawa En. I'mran Said

Mengejutkan, Menyedihkan dan Menyedarkan.

Pagi Isnin yang baru hendak bermula... tetapi kami di Selangor telah digemparkan dengan sebuah SMS dari Ketua Unit PSP dan PKG BTPN Selangor. Kali pertama membaca SMS berkenaan... seakan tidak percaya dengan apa yang terpapar di skrin handphone.

Kembalinya Allahyarham En. I'mran bin Said, Ketua PTP PKG Klang Bandar pada jam 1.15 pagi Isnin yang lalu amat mengejutkan bagi semua pihak.

Izinkan saya meminjam sebuah nukilan sahabat kami dari PKG Sungai Besar...

Memori Kenangan Silam..

Di kala ini...
Terpangil untuk menatapi...
Potret-potret tika bersama..
Tika terjalin siratulrahim...
Antara persahabatan..
Antara perhubungan sesama seagama..
Tiada lagi...
Persingahan ke teratakku...
Kala.. perjalananmu menunju ke desa...
Tiada lagi...
Persingahan ke pejabatku..
Kala pejalanan bersama keluargamu....
Tiada lagi...
Bahasa utara mu yang sukar dikikis...
Tiada lagi..
Usungan dan tembakan kameramu...
Tiada lagi...
Usikan mesramu dari hati yang ikhlas...
Hanya yang tinggal..
Memori kenangan..silam..
Yang tidak akan kembali...
Masa terakhir bersama...
Tika sama berkongsi masalah..
Dikala membina web..di Kuala Terengganu..
Kala mejamu dibelakang mejaku...
Maaf.. sahabatku....kerana tidak dapat...
Membalas kunjungan ke teratakmu...
Tikamu masih berkata-kata...
Hanya dapat kubalas..
Takkala sekujur tubuh dingin yang kaku...
Menantiku..buat tatapan terakhir..
hanya doaku..mengiringimu..
Semoga rohmu indah bersemadi di sana..
Bersama orang-orang yang beriman dan bertaqwa...
Al-Fatihah....

Sunday, March 23, 2008

Pengisian Data Status Penggunaan ICT

Pihak BTP telah dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan data bagi penggunaan ICT semua sekolah di seluruh negara. Sebagai salah satu rangkaian yang dekat dengan sekolah, pihak PKG telah diamanahkan untuk membantu ihak sekolah bagi mengisi data tersebut.

Semua sekolah di daerah Hulu Selangor telah pun diberi taklimat mengenai proses pengisian data ini. Sila layari laman web berikut : https://rnd.moe.edu.my/statusict/ bagi mendaftarkan sekolah anda. Seterusnya sila log-in dengan menggunakan ID Pengguna (kod sekolah) dan password yang telah dibina.

Sekolah-sekolah yang telah menyelesaikan proses key-in data ini diminta menghantar e-mail ke pkg_kalumpang@moe.edu.my bagi mengesahkan pengisian tersebut. Jika menghadapi sebarang masalah boleh merujuk terus ke PKG masing-masing untuk mendapakan bantuan.

Friday, March 21, 2008

Kursus Penggunaan e-Video Dalam P&P

Kursus di atas telah berjaya dilaksanakan pada 19 Mac yang lalu. Peserta terdiri daripada GPM dan Penyelaras ICT semua sekolah di daearah Hulu Selangor. Seramai 60 orang peserta telah menghadiri program ini yang dijalankan di PKG Kg. Soeharto.

Penceramah kursus ialah En. Jaya Kumar C. Koran, dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Beliau sememangnya merupakan seorang yang pakar dengan bidang ini kerana sebelum ini pernah berkhidmat di Bahagian Teknologi Pendidikan. Beliau telah menunjukkan cara-cara hendak memuat turun bahan video dari internet seterusnya cara untuk mengaplikasikannya ke dalam P&P di kelas.

Kursus ini telah dikelolakan oleh En. Abd. Wahi, En. Azman Mohd. Aris, En. Kamarulzaman dan Tn. Hj. Mohamadiah Iskandar.

Wednesday, March 5, 2008

Majlis Tadarus Zon Tengah

Majlis telah diadakan pada 5 Mac 2008 di PKG Kalumpang dan SK Kalumpang. Sebanyak 14 buah sekolah telah mengambil bahagian di dalam majlis yang bermula jam 8.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari. Acara yang dianjurkan adalah Tilawah, Hafazan, Bercerita dan Nasyid.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Kamal Maarof, Penolong Penyelia Agama Islam PPD Hulu Selangor. Turut hadir ialah Tn. Hj. Hamdan bin Bustan, GPK Kokurikulum SK Kalumpang. Para pemenang telah menerima hadiah yang disampaikan oleh kedua-dua VIP ini.

Mesyuarat Kejohanan Bola Baling


Ketua PTP PKG Kalumpang, En. Abd. Wahi telah menghadiri mesyuarat berkenaan pada petang Isnin (03.03.2008). Mesyuarat telah diadakan di SMK Kalumpang dan dipengerusikan oleh En. Kamal Rusdi, Penolong PPD Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan. Banyak perkara yang telah dibincangkan dan pihak PKG Kalumpang telah dilantik sebagai AJK Rakaman dan Dokumentasi.

Sekali lagi, PPD Hulu Selangor telah diamanahkan sebagai tuan rumah Kejohanan Bola Baling MSS Negeri Selangor bagi tahun 2008. Kejohanan akan diadakan di SMK Kalumpang pada 18-21 April 2008.

Tuesday, March 4, 2008

Kursus Kepimpinan Pengawas PSS

Program di atas telah pun selamat dilaksanakan oleh PKG Kalumpang bertempat di SK Kerling. Program selama 2 hari ini telah mencapai objektifnya di mana para peserta telah didedahkan dengan pengurusan PSS yang sepatutnya.

Seramai 48 orang murid daripada 10 buah sekolah ahli PKG telah menyertai kursus ini yang diadakan pada 22-23 Februari yang lalu.