Sunday, November 8, 2009

PNM, KTMB lancar program membaca dalam keretapi

KUALA LUMPUR 8 Nov. — Pelbagai inisiatif dilakukan pelbagai pihak dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk membudayakan amalan membaca di kalangan masyarakat di Malaysia.

Terbaru, program Membaca 1Malaysia yang dinamakan ”Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan” anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dilaksanakan bagi menggalakkan penumpang keretapi menyemai sikap minat membaca walaupun semasa menggunakan pengangkutan itu.

Program yang turut mendapat kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu pada pra pelancarannya hari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada penumpang keretapi dari Stesen Kuala Lumpur ke Gemas, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar berkata dengan bilangan pengguna KTMB menjangkau 10,400 orang setiap hari, program seperti itu dilihat sesuai dan efektif dalam menggalakkan penumpang membaca sebagai mengisi masa terluang.

"PNM menyediakan bahan bacaan atau Bank Buku di mana orang ramai digalak menderma buku untuk dijadikan bahan bacaan kepada penumpang keretapi,” katanya sebelum bermulanya perjalanan ke Gemas di Stesem KL Sentral sini, hari ini. - Bernama

No comments: