Monday, November 30, 2009

Perhimpunan Bulanan BTPN Selangor November-Disember

Perhimpunan Bulanan BTPN Selangor kali ke 6 bagi tahun ini telah dilaksanakan pada 16 November 2009 di bilik Merpati, BTPN Selangor. Majlis pada kali ini telah menggabungkan urusetia yang terdiri dari Unit Media, Promosi dan Inovasi, Unit Hal Ehwal PKG dan PKG daerah Hulu Selangor . Tema dipilih ialah ’Hitam Putih Kehidupan’.

Majlis dimulakan oleh nyanyian lagu Negaraku dan Negeri Selangor diikuti dengan bacaan doa. Bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam pula telah diketuai oleh En. Mohd. Amin, Juruteknik Komputer PKG Kalumpang.

Majlis seterusnya telah mendengar ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Perhimpunan Bulanan iaitu Pn. Rusita Sahari yang merupakan Ketua Unit Media, Promosi dan Inovasi. Beliau telah menjelaskan mengenai maksud tema ’Hitam Putih Kehidupan’ yang nampak ringkas tetapi mengandungi makna yang amat mendalam di dalam kerjaya dan keluarga seseorang kakitangan awam.

Kemudian, Tn. Haji Ahmad Dahlan bin Kardi, KPP BTPN Selangor telah menyampaikan ucapan, amanat dan pesanan seterusnya menyempurnakan sesi penyampaian cenderamata. Pada kali ini seramai 8 orang menerima cenderamata hari lahir November dan 12 orang lagi bagi bulan Disember. Majlis juga telah menyampaikan cenderamata ’Pengantin Baru’ kepada En. Sharifuddin Bakhtiar Juruteknik J17.

Perhimpunan kali ini juga telah menyelitkan Taklimat Kampus ASTRO yang disampaikan oleh Dr. Suhaimi Kadir, Pn. Aini Suraya dan En. Zulkarnain daripada ASTRO.

Majlis telah diakhiri dengan nyanyian lagu Satu Malaysia. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga dititipkan kepada semua AJK yang telah menjayakan majlis ini.

No comments: