Monday, April 9, 2007

Bulan Pembestarian

Bulan April telah dimasyurkan sebagai Bulan Pembestarian oleh Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein. Fokus utama terarah kepada dua fokus utama iaitu
1. membestarikan semua sekolah
2. memantapkan 88 buah sekolah bestari

Menurut Dato' Seri Hishammuddin, melalui fokus bulanan ini, semua bahagian dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dan mereka semakin berkemampuan untuk mempakejkan produk masing-masing sebagai satu pakej berdasarkan teras-teras dalam PIPP. Ia samalah serampang dua mata.

Mulai bulan April ini, Kementerian Pelajaran melaksanakan program pembestarian sekolah dan pemantapan serta penjenamaan semula 88 sekolah bestari di seluruh negara. Ia bagi merealisasikan teras ketiga PIPP 2006-2010, iaitu memperkasa sekolah kebangsaan.

Fokus ini untuk membantu warga KPM dan orang ramai memahami teras-teras dalam PIPP, program dan projek yang ada di dalam teras-teras tersebut dan status pelaksanaannya yang terkini. Dari segi yang lain pula, ia membantu warga KPM agar tindakan mereka lebih berfokus, mempunyai sasaran dan bertindak melaksanakan program-program ini dalam satu pakej dengan segera dan tanpa berlengah-lengah lagi. Lebih-lebih lagi kerana kita perlu melaporkan pelaksanaannya kepada Jemaah Menteri dari semasa ke semasa dan kepada orang ramai dua kali setahun, bermula bulan Jun tahun ini.

Dalam bulan ini, kita akan memaklumkan kepada orang ramai tentang pelaksanaan dua program utama iaitu pertamanya, program pembestarian sekolah dan keduanya, usaha pemantapan dan penjenamaan semula 88 sekolah bestari. Kita akan berusaha memberikan penjelasan kepada orang status pelaksanaan kedua-dua program ini, sejauh mana ia telah dilaksanakan sejak bermulanya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sejauh mana kejayaan atau kekangan yang dihadapi seterusnya langkah-langkah yang hendak diambil atau tindakan penambah-baikan yang perlu dilakukan sepanjang tempoh RMK-9 ini bagi memastikan matlamat pelan induk pendidikan ini dapat dicapai.

Pada waktu yang sama, kita akan melaksanakan juga program-program yang telah kita rancang seperti melaksanakan latihan kepada guru dalam ICT, mengadakan pusat akses di sekolah-sekolah, membentuk kerjasama dengan pihak luar KPM bagi membantu mempercepatkan proses pembestarian di sekolah-sekolah dan sebagainya.

Kisah selanjutnya boleh diperoleh melalui wawancara Mingguan Malaysia bertarikh 8 April 2007.

1 comment:

PPPDPA_PPDHS said...

Assalamualaikum,

Wawancara ini telah saya sambungkan pada blog KUTV. Nampaknya kerja sama kita menjadi kenyataan.

Inilah yang saya harapkan. Perkongsian maklumat semakin menjadi kenyataan.Saya simpan pada blog untuk menjadi rujukan jika diperlukan pada masa akan datang.
Terima kasih.