Saturday, April 21, 2007

Kejayaan Pelaksanaan Khemah Membaca 2007

Berita menggembirakan. Setelah bertungkus-lumus selama 3 hari, akhirnya Khemah Membaca anjuran PKG Kalumpang berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Walau bagaimana pun terdapat sedikit pengubahsuaian telah dilakukan.
Perancangan asal yang dirangka adalah para peserta akan menginap. Namun begitu, di dalam mesyuarat terakhir, beberapa sekolah memohon agar murid tidak bermalam sebaliknya berulang. Oleh itu, sedikit ubahsuai dilakukan terhadap Jadual Pelaksanaan Khemah Membaca ini.
Pihak penganjur telah mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada 9 orang Guru Perpustakaan dan Media sekolah ahli. Mereka telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi bagi memastikan kelancaran program ini.
Bagi para peserta yang tidak dijemput balik oleh ibu bapa, guru-guru inilah yang menghantar peserta ini pulang ke rumah pada waktu petang. Mereka telah memainkan peranan sebagai guru pengiring, urusetia malahan fasilitator bagi setiap aktiviti yang dirangka.
Pihak penganjur juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pn. Semariati bt. Kiman (PKG Kuala Kubu Bharu) dan Pn. Salamah bt. Udin (SMK Serendah) yang telah memberikan khidmat bakti sebagai penceramah bagi slot Kemahiran Membaca, Kemahiran Maklumat dan Pengetahuan Am.
Begitu juga buat Ketua Pustakawan Perpustakaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang turut sama memberikan bantuan pada hari kedua program. Seramai 11 orang staf Perpustakaan UPSI telah turut sama meraikan para peserta seterusnya memberi input berkaitan Kaedah Pencarian Maklumat. Para peserta memberikan respons yang amat positif semasa menyertai program di situ.
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh En. Mohd. Hasren bin Damiri, wakil Tuan PPD Hulu Selangor pada petang 19.04.2007. Pn. Rusliza bt. Yaacob, wakil Ketua Pustakawan UPSI juga turut serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang beberapa pertandingan yang dijalankan.
Pertandingan yang dijalankan adalah :
1. Pencarian Maklumat
2. Persembahan Kumpulan
3. Peserta Pilihan SMS (L)
4. Peserta Pilihan SMS (P)
Akhir kata, kejayaan penganjuran Khemah Membaca ini tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan, kerjasama dan komitmen semua pihak yang terlibat. Tahniah juga buat Pengetua dan Guru Besar sekolah ahli yang telah menghantar murid bagi menjadi peserta program ini.

En. Abd. Wahi bin Wahid
Pn. Khairul Faridah bt. Hasan
En. Mohd. Nazzary bin Shamsuddin

1 comment:

PPPDPA_PPDHS said...

Tahniah kepada PKG Kalumpang kerana berjaya melaksanakan program bagi kumpulan PKG Kalumpang.

Semoga PKG Kalumpang akan terus aktif melaksanakan program-program untuk sekolah-sekolah naungannya.
KUTVPPDHS