Friday, May 18, 2007

SELAMAT HARI GURU 2007

16 Mei menjelang lagi. Ia merupakan tarikh keramat bagi para guru yang berkhidmat di negara ini. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) dan telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Di mana-mana sahaja majlis untuk meraikan jasa dan pengorbanan guru akan diadakan. Majlis sambutan diadakan di peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahu pun sekolah. Ada yang meriah dan gilang-gemilang, namun ada juga yang diraikan secara ala kadar sahaja. Ada yang diraikan bersama masyarakat luar, PIBG dan ada yang diraikan sebagai acara dalaman sahaja.

Jasa dan pengorbanan guru sememangnya tidak boleh dilupakan. Sekali insan itu bergelar guru, selama-lamanya menjadi guru. Itulah kelebihan guru. Kerja guru adalah kerjaya yang dianggap amat mulia di sisi semua agama di dunia ini.
Kerana gurulah wujudnya pemimpin negara yang berkaliber, kerana gurulah wujudnya golongan bangsawan dan profesional yang menerajui sesebuah negara, institusi mahu pun korporat. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa tanpa adanya guru maka akan pincanglah sesebuah negara, masyarakat dan keluarga.
Hari Guru di peringkat kebangsaan telah diadakan di Johor Bharu pada jam 8.00 malam 16 Mei yang lepas. Sambutan gilang-gemilang ini telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Haji Abdullah bin Ahmad Nawawi.
Manakala di peringkat negeri Selangor pula telah diadakan pada jam 9.30 pagi 19 Mei 2007 di Wisma PKPS, Shah Alam. Perasmian telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Selangor iaitu Dato' Seri Haji Mohd. Khir bin Toyo.
Peringkat Daerah Hulu Selangor pula akan mengadakan Sambutan Hari Guru pada 24 Mei 2007 bersamaan dengan hari Khamis di Akademi Bomba, Kuala Kubu Bharu.
SELAMAT HARI GURU.